MALAYSIA

Rapid KL satukan semua zon dalam satu aplikasi Rapid On-Demand

Ernalisa Othman 14/11/2025 | 11:30 MYT
Semua perkhidmatan kini berpindah sepenuhnya ke satu aplikasi tunggal, Rapid On-Demand. - Gambar/ Rapid Bus
KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd akan memulakan fasa terakhir penyelarasan aplikasi tempahan Rapid KL On-Demand bermula esok.

Langkah ini menandakan semua perkhidmatan kini berpindah sepenuhnya ke satu aplikasi tunggal, Rapid On-Demand, sekaligus menamatkan penggunaan aplikasi terdahulu iaitu Kummute, Mobi dan Trek Rides.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria, berkata penyelarasan ini melengkapkan transformasi digital perkhidmatan Rapid KL On-Demand yang telah dijalankan secara berperingkat sejak Jun 2025.

"Integrasi semua zon di bawah satu aplikasi membolehkan pengguna membuat tempahan dengan lebih mudah tanpa perlu bertukar-tukar antara aplikasi berbeza.

“Langkah ini merupakan usaha penting untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, mudah dan konsisten di seluruh Lembah Klang,” katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat.

Beliau menegaskan bahawa penyelarasan ini bukan sekadar perubahan teknikal, tetapi satu usaha berterusan bagi memperkukuh kesalinghubungan serta kemudahan akses sistem pengangkutan awam bandar.

Fasa akhir penyelarasan turut melibatkan penggabungan dan peluasan beberapa zon sedia ada bagi meningkatkan liputan dan kesalinghubungan perkhidmatan.

Antara zon yang terlibat ialah Sri Rampai ke Taman Melawati, Taman Medan ke Sunway, Stesen Putrajaya Sentral ke Presint 1 dan Presint 11, Stesen Taman Bahagia ke SS7, serta Sungai Way ke Stesen Taman Paramount.

"Pengguna kini hanya perlu menggunakan aplikasi Rapid On-Demand yang boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store. Promosi tambang RM1 bagi setiap perjalanan juga diteruskan bagi memberi kemudahan tambahan kepada penumpang.

"Bayaran perjalanan boleh dibuat menggunakan pelbagai kaedah termasuk kad Touch ‘n Go, kad debit atau kredit, DuitNow, e-dompet serta kad konsesi MyRapid seperti Rapid Mesra, Rapid Pelajar dan Rapid Emas." katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai zon liputan, cara penggunaan aplikasi dan pas perjalanan Rapid, orang ramai digalakkan mengikuti saluran media sosial rasmi Rapid KL atau melayari laman web rasmi di www.myrapid.com.my.




#aplikasi rapid on-demand #aplikasi tunggal Rapid #cara tempah bas #Ku Jamil Zakaria