Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Rapid Mobiliti pilihan utama pengguna OKU di Pulau Pinang

Bernama 19/08/2025 | 02:30 MYT
Shamshad Begham menyifatkan Rapid Mobiliti memudahkannya untuk ke mana-mana lokasi meskipun bergerak berseorangan sekali gus menjadi nadi penting dalam kehidupan seharian. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Perkhidmatan Rapid Mobiliti oleh Rapid Bus menjadi pilihan utama golongan Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya pengguna berkerusi roda kerana ia bukan sahaja selesa dan mudah diakses, malah direka khusus bagi memenuhi keperluan golongan berkenaan.

Shamshad Begham Othman, 67, yang lumpuh sejak berusia tiga tahun akibat jangkitan polio, menyifatkan Rapid Mobiliti memudahkannya untuk ke mana-mana lokasi meskipun bergerak berseorangan sekali gus menjadi nadi penting dalam kehidupan seharian.

Beliau mula memanfaatkan perkhidmatan Rapid Mobiliti sejak 2017 dan ketika itu kerap membuat tempahan untuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan kanser rahim, meskipun kini telah habis rawatan, beliau masih menggunakannya untuk menghadiri fisioterapi, urusan harian dan juga aktiviti sosial bersama rakan-rakan.

"Saya suka guna (Rapid Mobiliti) sebab sangat selesa dan van ini menyediakan kemudahan untuk menaikkan kerusi roda ke dalam kenderaan. Jadi, saya yang naik kerusi roda berkuasa bateri boleh kawal pergerakan sendiri.

"Berbanding naik kereta kena buka bateri sebab nak lipat (kerusi roda) letak di belakang, tak rasa bebas pula sebab kena harapkan orang untuk bantu," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Bekas pensyarah Bahasa Inggeris di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu yang kini menetap di Sungai Gelugor itu turut berkongsi pengalaman manis sepanjang menggunakan perkhidmatan itu apabila permintaannya untuk menempah kenderaan awal pagi ke hospital dilayan dengan baik oleh pihak Rapid Penang.

"Masa itu saya perlu ada pada 7 pagi di hospital untuk menjalani pembedahan katarak. Waktu operasi van pula hanya mula 8 pagi, tetapi apabila saya hubungi petugas Rapid Penang dan minta tolong datang seawal 6.30 pagi mereka sanggup bantu," katanya yang masih bujang.

Shamshad Begham turut memuji pemandu Rapid Mobiliti kerana sangat prihatin dan profesional dalam melaksanakan tugas.

Mereka bukan sahaja menepati masa, malah mengambil berat keselamatan dengan memastikan pengguna masuk ke premis dengan selamat, membuatkan hubungan menjadi lebih erat dan mesra.

Beliau berkata kadar tambang dikenakan juga amat berpatutan, iaitu RM7 sehala dan berbaloi terutama bagi golongan OKU yang perlu berulang-alik ke hospital atau tempat rawatan secara berkala.

Rapid Mobiliti, perkhidmatan pengangkutan eksklusif dari rumah ke rumah yang telah memulakan operasi pada 2011 di Kuala Lumpur dan di Pulau Pinang pada 2016.

Di Pulau Pinang, Rapid Mobiliti ditawarkan untuk kawasan di bahagian pulau sahaja bermula 8 pagi hingga 9.30 malam dan tempahan boleh dibuat dengan menghubungi talian 04-2381214.

-- BERNAMA






#Rapid Mobiliti #OKU #Rapid Bus #pemandu