GEORGE TOWN: Rapid Penang bakal memulakan perkhidmatan bas dua tingkat bermula 1 Feb ini selaras dengan imej baharu sistem pengangkutan di Pulau Pinang.

Menurut Jurucakap Rapid Bus Sdn Bhd, pengoperasian bas dua tingkat akan dilaksana di laluan 301 dari Terminal Bas Weld Quay ke Relau dan 302 dari Terminal Bas Weld Quay ke Batu Maung berikutan kedua-dua laluan mempunyai permintaan serta kapasiti penumpang yang tinggi.

"Pengoperasian bas dua tingkat ini mampu membawa 108 penumpang pada satu-satu masa malah bas yang berkonsepkan akses universal ini juga dilihat mampu menangani permintaan dan kapasiti penumpang tinggi di sesetengah kawasan," menurutnya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menyebut inisiatif tersebut dijangka mampu meningkatkan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas Rapid Penang.

"Para penumpang juga boleh menggunakan aplikasi PULSE yang dibangunkan oleh Prasarana yang dapat dimuat turun daripada Google Play dan App Store bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai perkhidmatan Rapid Bus untuk membantu mereka merancang perjalanan," katanya.

-- BERNAMA