KUALA LUMPUR: Raptai penuh Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 berjalan lancar hari ini dengan turut mengambil kira faktor cuaca.

Kira-kira 7.30 pagi, pasukan kawalan kehormat yang terlibat dalam istiadat itu sudah bersiap sedia berlatih di pekarangan Dataran Parlimen.

Pasukan itu turut mengadakan latihan di ruang Dewan Bankuet Blok Utama, Bangunan Parlimen sebagai persediaan sekiranya cuaca pada hari istiadat yang berlangsung Isnin depan (13 Feb) tidak mengizinkan selain faktor lain.

Persiapan akhir bagi istiadat itu juga diadakan di Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 itu di Dewan Rakyat pada 10 pagi.

Raptai pada hari ini meliputi semua acara dengan mengikut adat istiadat dan protokol termasuk Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Dewan Rakyat akan bersidang mulai 13 Feb hingga 30 Mac dan diikuti persidangan Dewan Negara pada 21 Mac hingga 6 April.

Belanjawan 2023 juga akan dibentangkan di Parlimen pada 24 Feb ini.

-- BERNAMA