Orang awam perlu rasional dalam mengamalkan penggunaan topeng muka ketika berdepan dengan pandemik.

Menurut Pengarah Perubatan Mundipharma Pharmaceuticals Asia Tenggara, Dr Murtaza Qasuri, keutamaan penggunaan penutup mulut dan hidung adalah kepada mereka yang mengalami gejala penyakit melibatkan pernafasan.

“Guna topeng muka hanya ketika badan anda mengalami simptom pernafasan seperti batuk dan selesema, disyaki mengalami simptom ringan COVID-19 atau sedang merawat pesakit yang dijangkiti virus itu,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Rabu.

Jelasnya, ia seiring dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung penggunaan topeng muka secara rasional bagi mengelakkan pembaziran pada sumber penting itu dan potensi kepada penyalahgunaan topeng muka.


Murtaza turut berkata penggunaan topeng muka sahaja tidak mencukupi untuk mengelakkan daripada jangkitan.

Sebaliknya, langkah-langkah pencegahan seperti penjagaan kebersihan tangan dan pernafasan perlu dipertingkatkan.

“Saya berpendapat bahawa topeng muka juga membantu untuk mengelakkan kita daripada menyentuh bahagian muka kerana tangan kita mungkin ada menyentuh permukaan yang terdedah dengan bakteria.

“Tidak dinafikan pemakaian topeng muka boleh mencegah daripada dijangkiti penyakit melibatkan pernafasan, tetapi kita juga perlu sentiasa mengamalkan tahap kebersihan terutama tangan.

Murtaza berkata demikian mengulas situasi rakyat Malaysia yang sukar mendapatkan topeng muka ekoran stok habis terjual ketika negara sedang berdepan COVID-19.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mempertimbangkan untuk melarang pengeksportan penutup hidung dan mulut berikutan permintaan yang tinggi dan bekalan yang menyusut.

SEMUA YANG ANDA INGIN TAHU BERHUBUNG COVID-19

BACA: Eksport penutup hidung, mulut mungkin akan dihentikan


Bagaimanapun, agak menyedihkan apabila ada pihak yang mengambil kesempatan menjual barangan tersebut dengan harga yang tinggi dan tidak masuk akal.

BACA: COVID-19: Pengguna mengeluh topeng muka, hand sanitizer dijual dengan harga tak masuk akal!

Diminta mengulas mengenai golongan berisiko tinggi kepada pandemik ini, Murtaza berpendapat golongan yang berusia dan mempunyai sejarah penyakit seperti sakit jantung dan diabetes perlu lebih berwaspada.

“Semua disaran berada jauh dari tempat orang ramai bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti. Namun, dalam masa sama, mereka yang berusia dan mempunyai sejarah penyakit kronik perlu lebih berhati-hati ketika berada di tempat awam,” katanya.

Tambah Murtaza, perbezaan mengenali simptom antara demam biasa dan COVID-19 agak sukar ekoran kedua-dua keadaan itu membawa simptom yang sama walaupun ia disebabkan jangkitan yang berbeza.

“Jika dilihat pada simptom sahaja, ianya agak sukar untuk dikenalpasti, namun mereka yang mengalami batuk, demam dan kesukaran bernafas dinasihati untuk mendapatkan rawatan awal,” katanya.

Jelasnya, pesakit perlu jujur dengan pihak pegawai perubatan tentang sejarah perjalanan mereka dalam tempoh 14 hari sebelum mereka mengalami simptom tersebut atau sekiranya mereka ada mempunyai kenalan rapat dengan mereka yang bergejala.