NATIONAL

Rasuah: 6 individu termasuk 2 penjawat awam bergelar Datuk, jurutera jabatan kerajaan ditahan

Umavathi Ramayah 20/05/2025 | 11:20 MYT
Mereka ditahan kira-kira pukul 5.30 petang Isnin ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. - Foto SPRM
PUTRAJAYA: Enam individu termasuk dua penjawat awam bergelar Datuk yang memegang jawatan sebagai pengarah serta seorang jurutera sebuah jabatan kerajaan di ibu negara, ditahan reman antara tiga dan lima hari bermula Selasa bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek pembangunan dan penyelenggaraan sejak empat tahun lalu.

Perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20-an hingga 50-an.

Mereka ditahan kira-kira pukul 5.30 petang Isnin ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya.

Dua suspek utama yang menjawat jawatan sebagai pengarah dan jurutera di sebuah jabatan kerajaan disyaki meminta dan menerima rasuah daripada beberapa kontraktor sebagai balasan kepada tawaran kerja kontrak pembangunan dan penyelenggaraan di bawah seliaan mereka sejak tahun 2021.

Turut ditahan adalah sepasang suami isteri bersama bapa kepada wanita berkenaan yang juga seorang pemilik syarikat bergelar Datuk, serta seorang kontraktor.

Mereka dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam mengatur pemberian rasuah daripada kalangan kontraktor kepada dua pegawai kerajaan terbabit.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek utama menerima kira-kira RM115,000 dalam pelbagai bentuk termasuk wang tunai, pembiayaan pengubahsuaian rumah dan pemberian telefon pintar mewah.

Hasil serbuan menerusi Ops Kepala yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di 10 premis sekitar Lembah Klang dan Johor pada Isnin, pasukan penyiasat turut menyita dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux dan wang tunai berjumlah kira-kira RM165,000.

Selain itu, 95 akaun perbankan milik individu dan syarikat turut dibekukan, membabitkan jumlah sekitar RM6 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


#Rasuah #penjawat awam #bergelar datuk #SPRM