PUTRAJAYA:Bekas setiausaha politik kepada bekas menteri bakal didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok, berhubung kes rasuah melibatkan kira-kira RM5 juta berkaitan tender projek di sebuah kementerian.

Lelaki dalam 40-an itu dipercayai telah membantu syarikat kontraktor mendapatkan projek kementerian dan menerima suapan daripada beberapa individu, menerusi beberapa transaksi.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu, lelaki itu dikatakan bakal berdepan dengan beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

BACA: Rasuah: Bekas setiausaha sulit kanan bekas menteri akan didakwa esok

BACA: Bekas setiausaha sulit kanan bekas menteri dituduh rasuah RM3.1 juta


Dia juga dijangka didakwa di Mahkamah Shah Alam pada 23 Okt atas kesalahan sama dengan beberapa pertuduhan lagi, kata sumber itu lagi.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Norazlan Mohd Razali mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi.

Menurut Norazlan, tiga pegawai kanan kementerian berkenaan yang turut disiasat berkaitan kes yang sama, dijangka didakwa dalam masa terdekat.

--BERNAMA