KUALA LUMPUR: Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 membuatkan syarikat-syarikat menjalankan perniagaan dengan lebih jujur dan telus.

Menurut Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar Seksyen 17A Akta SPRM ini dapat mengurangkan kegiatan salah laku rasuah sesebuah syarikat.

Akhbar juga menjelaskan Seksyen 17A  Akta SPRM itu dapat memastikan sesebuah syarikat mempunyai usaha-usaha untuk mencegah rasuah dalam urusan perniagaan mereka.

"Maknanya dalam satu syarikat itu, yang pertama apabila pegawai kita sendiri sama ada pengarah atau tuan punya syarikat menggunakan orang tengah mendapatkan sesuatu projek, memberi rasuah maka bukan hanya orang itu akan ditangkap.

"Jadi dari segi corporate liability, ia akan terletak kepada syarikat tersebut, itu perbezaannya yang ada dalam Seksyen 17A Akta SPRM ini.

"Yang kedua undang-undang ini adil kerana jika sekiranya agensi penguat kuasa mengetahui atau kita boleh prove kepada mahkamah bahawa kegiatan pegawai itu bukan keizinan kita, maka kita mungkin tidak akan disiasat.

"Jadi kita boleh melihat ini merupakan usaha mencegah rasuah," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau menjelaskan, berbeza dengan negara-negara lain, Seksyen 17A Akta SPRM mengenakan denda yang lebih tinggi kepada pihak yang terlibat dengan kegiatan rasuah.

Akhbar memaklumkan, Seksyen 17A Akta SPRM juga dapat menutup lompong pelaksanaan usaha mencegah rasuah yang giat dijalankan agensi tersebut.

Sebuah syarikat penyewaan kapal akan menjadi organisasi komersial pertama di negara ini yang didakwa mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sejak seksyen itu dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun lepas.

Pendakwaan akan dibuat terhadap pengarah syarikat tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis.

Untuk rekod, Seksyen 17A akta itu (Pindaan 2018) memperuntukkan organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau pihak bersekutunya terlibat dengan jenayah rasuah.