Rasuah di laut: SPRM tahan seorang pegawai kanan kerajaan

Fareez Azman
Mac 2, 2023 07:38 MYT
Suspek disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta 'runner' sebagai balasan melindungi bot nelayan yang melakukan kesalahan. - Foto SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan kerajaan di Kedah kerana disyaki terlibat dalam melindungi bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, SPRM memaklumkan suspek disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta 'runner' sebagai balasan melindungi serta tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot-bot nelayan yang melanggar Akta Perikatan 1984 bagi tempoh antara 2015 hingga 2022.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai bertugas sebagai pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan di Johor.
Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM, Kedah pada pagi Khamis.
Penahanan suspek menjadikan jumlah tangkapan membabitkan penjawat awam dalam Op Tunda di Kedah meningkat kepada tujuh orang manakala lima lagi merupakan orang awam.
Semalam, seorang pegawai kanan kerajaan yang bertugas di Langkawi berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Suspek direman di Mahkamah Majistret Alor Setar selama lima hari sehingga 6 Mac depan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
#nelayan #SPRM #Rasuah di laut #suspek