Rasuah di Malaysia: Kes Najib tidak dijadikan pengajaran – Mohd Annuar

Mohd Annuar menegaskan rasuah bukan sahaja memberi kesan sosial, tetapi juga impak langsung terhadap ekonomi, rakyat, dan negara. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Rasuah di Malaysia kini dilihat semakin menular sehingga dianggap sebahagian daripada budaya dalam sistem pentadbiran.
Pro-Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, lebih memalukan apabila pensabitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam kes rasuah langsung tidak dijadikan pengajaran oleh individu di peringkat tertinggi kepimpinan negara.
“Sepatutnya apa yang berlaku pada Najib dijadikan pengajaran. Tetapi sebaliknya berlaku. Ia bukan menjadi pengajaran untuk tidak melakukan kesalahan, sebaliknya dijadikan pengajaran untuk melakukan perkara yang sama. Itu perdana menteri. Bagaimana pula menteri-menteri lain di bawahnya?
“Ketua Setiausaha ada yang dipindahkan atau meletak jawatan kerana tidak mahu bersubahat. Ini memang berlaku,” katanya dalam forum Kepimpinan: Ujian Terhadap Amanah dan Tanggungjawab, pada Rabu.
Beliau turut mengkritik sikap sesetengah pemimpin yang menghakis norma moral dan rasa malu meskipun melakukan salah laku secara terang-terangan.
“Rasuah dilakukan tanpa rasa takut atau malu. Malah, muncul slogan membahayakan seperti ‘malu apa bossku’. Tak payah malu, malu bukan budaya kita,” ujarnya sinis.
Mohd Annuar menegaskan rasuah bukan sahaja memberi kesan sosial, tetapi juga impak langsung terhadap ekonomi, rakyat, dan negara.
“Kos pentadbiran meningkat, pertumbuhan ekonomi terbantut, pelaburan asing merosot. Manakala perkhidmatan awam kepada rakyat turut terjejas,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru pimpinan negara untuk lebih serius dan berdedikasi dalam menunaikan amanah, khususnya dalam menjaga keperluan asas rakyat.
“Kalau kita boleh membina lapangan terbang besar atau laluan kereta api canggih, apa yang menghalang kita mendirikan taska atau pusat jagaan di pejabat kerajaan?
“Pengalaman saya berinteraksi dengan petugas Istana Negara (sebelum ini), ramai yang menetap jauh dari Kuala Lumpur. Nak masuk kerja kena lalui perjalanan lebih sejam.
“Tanah begitu luas. Tak terfikirkah untuk buat kuarters untuk 400 orang yang berpendapatan rendah seperti polis, pemandu dan sebagainya? Perkara-perkara kecil begini jarang diberi perhatian,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


