Rasuah Jabatan Air Negeri Sabah: Bekas timbalan pengarah ditahan SPRM

Anthea Yap
Oktober 14, 2016 08:11 MYT
Siasatan awal mendapati suspek juga telah menerima sejumlah wang daripada beberapa kontraktor ketika memegang jawatan Timbalan Pengarah JANS. -Gambar fail
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah melibatkan projek infrastruktur membabitkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bernilai RM3.3 bilion.
Menurut sumber, suspek yang berusia 62 tahun itu merupakan Bekas Timbalan Pengarah JANS yang telah bersara daripada perkhidmatan tahun lalu.
Tambahnya, selepas bersara, suspek telah dilantik sebagai penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah yang disandangnya sehingga kini.
"Suspek telah ditahan di pejabatnya semalam," kata sumber itu lagi.
Siasatan awal mendapati suspek juga telah menerima sejumlah wang daripada beberapa kontraktor ketika memegang jawatan Timbalan Pengarah JANS.
Bagaimanapun, tiada sebarang rampasan wang tunai dibuat setakat ini oleh SPRM.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu namun enggan mengulas lanjut.
Mahkamah Majistret Sabah membenarkan suspek ditahan reman selama enam hari, bermula hari ini.
#Azam Baki #projek infrastruktur #salah guna kuasa dan rasuah #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia