MALAYSIA
Rasuah lebuh raya: SPRM beredar dari kediaman Tan Sri selepas tujuh jam rekod keterangan
Kenderaan pasukan penyiasat SPRM dilihat beredar keluar dari kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bagi merakam keterangan buat kali ketiga berhubung penyelewangan dana pembinaan lebuh raya. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kenderaan pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat beredar keluar dari kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bagi merakam keterangan buat kali ketiga berhubung penyelewengan dana pembinaan lebuh raya di Lembah Klang pada Khamis.
Ringkasan AI
- SPRM merakam keterangan kali ketiga dari seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri, berkaitan siasatan penyelewengan dana projek lebuh raya di Lembah Klang, dengan kehadiran pasukan taktikal disebabkan kemungkinan penyimpanan senjata.
- Aset dalam negara bernilai RM141 juta telah disita, termasuk wang tunai, hartanah mewah, kereta, jam tangan dan barangan kemas; manakala RM15 juta aset luar negara masih dikesan.
- Siasatan intensif berlangsung sejak 11 Jun, dengan penggeledahan dan kawalan ketat di kediaman terlibat, sebagai sebahagian usaha SPRM menyiasat skandal dana infrastruktur utama negara.
Kenderaan jenis Toyota Vios yang membawa dua pegawai penyiasat beredar meninggalkan kediaman pada jam 4.34 petang tadi.
Pasukan penyiasat SPRM tiba di kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri pada jam 9.10 pagi.
Kawasan kediaman itu bagaimanapun dilihat masih dikawal oleh anggota polis bantuan yang meletakkan kon penghadang bagi mengelakkan orang awam menghampiri lokasi berkenaan.
Pada Isnin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata bahawa proses merakam keterangan individu yang disiasat terbabit akan disambung hari ini.
Proses mengambil keterangan oleh pasukan penyiasat tersebut merupakan kali ketiga selepas tindakan serupa dilakukan pada 11 dan 12 Jun lalu.
Pasukan Taktikal SPRM (ACTS) sebelum ini turut digunakan dalam proses penggeledahan kediaman terbabit kerana disyaki menyimpan senjata.
Sabtu lalu, SPRM memaklumkan telah menyita aset dalam negara bernilai RM141 juta, manakala RM15 juta aset di luar negara sedang dikesan.
Pecahan sitaan itu antaranya membabitkan akaun individu RM4.5 juta, akaun syarikat RM33 juta, kondominium mewah dan tanah RM24.5 juta, jam tangan mewah RM26 juta, sembilan unit kereta mewah RM7.65 juta dan barangan kemas serta berlian RM10 juta.