MALAYSIA
Rasuah lebuh raya: SPRM tiba di kediaman Tan Sri ambil keterangan kali ketiga
Sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dilihat tiba di kawasan kediaman Tan Sri pemegang konsesi lebuh raya di Bandar Tasik Selatan pagi ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di kediaman ahli perniagaan bergelar Tan Sri bagi merekod keterangan siasatan kali ketiga berhubung penyelewengan dana sukuk sebuah lebuh raya di Lembah Klang pada Khamis.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, sebuah kenderaan jenis Toyota Vios tiba di kawasan kediaman pemegang konsesi lebuh raya itu pada jam 9.09 pagi.
Dalam pada itu, kawasan kediaman Tan Sri itu masih dikawal anggota polis bantuan yang meletakkan kon penghadang bagi mengelak orang awam menghampiri pada jarak kira-kira 500 meter.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki pada Isnin berkata rekod keterangan individu bergelar Tan Sri yang disiasat itu akan disambung pada Khamis di kediamannya di ibu negara.
"Saya difahamkan ia akan dilakukan pada sekitar jam 9 pagi," katanya.
Proses rekod keterangan oleh pasukan penyiasat SPRM ini susulan tindakan sama dilakukan pihak itu pada 11 dan 12 Jun lalu.
Sebelum ini, SPRM menyita aset dalam negara berjumlah RM141 juta serta sedang mengesan aset luar negara bernilai RM15 juta yang dikaitkan dengan penyelewengan dana sukuk bagi projek pembinaan lebuh raya berkenaan.
Difahamkan, dana itu dipercayai ada kaitan dengan seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri yang kini dalam siasatan.
Jumlah yang disita membabitkan akaun individu RM4.5 juta, akaun syarikat RM33 juta, kondominium mewah dan tanah RM24.5 juta, jam tangan mewah RM26 juta, sembilan unit kereta mewah RM7.65 juta dan barangan kemas serta berlian RM10 juta.
Barangan lain yang disita adalah tas tangan mewah RM6 juta, jongkong, patung emas dan syiling emas yang dianggarkan bernilai RM3 juta serta empat ekor kuda bernilai RM400,000.
Bagaimanapun, aset di luar negara yang dianggarkan berjumlah RM15 juta sedang dalam proses pengesanan oleh pihak SPRM.
Antara penggunaan wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan minuman beralkohol dan aktiviti perjudian RM25 juta.