MALAYSIA
Rasuah: Pegawai kanan PBT, pemilik syarikat dan pengarah direman empat hari
SPRM menahan reman tiga individu termasuk seorang pegawai kanan gred Jusa B yang berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu negara kerana disyaki terlibat rasuah sejak 2014. - Foto SPRM/Sinar Harian
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu termasuk seorang pegawai kanan gred Jusa B yang berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu negara kerana disyaki terlibat rasuah sejak 2014.
Perintah reman empat hari bermula hari ini terhadap pegawai kanan PBT, masing-masing seorang pemilik syarikat dan pengarah syarikat itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret di sini, selepas permohonan dikemukakan SPRM.
Menurut sumber, tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu masing-masing ditahan di pejabat PBT, pejabat SPRM Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang kira-kira 12 tengah hari semalam hingga 1 pagi tadi.
"Ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat rasuah sejak 2014, suspek berjawatan pemilik syarikat terbabit dipercayai telah membayar rasuah kepada pegawai berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek di agensi terbabit.
"Susulan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000, empat peranti telekomunikasi, dua unit kenderaan jenis Lexus RX500H serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton," menurut sumber itu.
SPRM juga membekukan 19 akaun perbankan milik individu serta syarikat melibatkan nilai lebih RM7 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA