SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Rasuah: Penjawat awam mengaku tidak bersalah di mahkamah Labuan

Bernama 21/08/2025 | 22:30 MYT
Anisah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di Labuan semalam atas dakwaan menerima barang berharga daripada kontraktor yang mempunyai kaitan dengan sebuah projek pada 2021. - Foto BERNAMA
LABUAN: Seorang penjawat awam wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini semalam atas dakwaan menerima suatu barang berharga daripada seorang kontraktor yang mempunyai kaitan dengan sebuah projek perikanan empat tahun lepas.

Anisah Embok, 44, seorang kakitangan jabatan kerajaan di sini dituduh menerima komputer riba ASUS A516E-AE121T daripada seorang kontraktor yang terlibat dalam pembekalan peralatan untuk projek Peranti Pengumpulan Ikan (FAD) bawah inisiatif MyKomuniti Perikanan Tuna pada 29 Julai, 2021.

Dia didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Jason Juga membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan wanita itu melapor diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua bulan sekali.

Mahkamah menetapkan 2 Okt ini untuk sebutan kes dan penyerahan dokumen.

Pegawai Pendakwa SPRM Joe Randy Juster hadir bagi pihak pendakwaan.

-- BERNAMA



TAG: MyKomuniti Perikanan, Labuan, rasuah, SPRM, Joe Randy

#Rasuah #penjawat awam #Labuan #SPRM