Rasuah projek hibrid solar: Rosmah diarah bela diri

Ridauddin Daud
Februari 18, 2021 02:00 MYT
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membela diri atas pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya. -Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya.
Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.
Arahan itu dikeluarkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada Khamis.
Keputusan itu dibuat selepas hakim mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tersebut.
Rosmah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Rosmah diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.
Hakim menetapkan sembilan hari untuk pembelaan iaitu pada 9, 10, 15, 16, 17, 22 dan 23 Jun serta 12 dan 15 Julai untuk kes tersebut selepas tarikh itu dipersetujui kedua-dua pihak.
Rosmah pada 15 Nov 2018 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas Pegawai Khasnya, Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.
Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.
Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di kediamannya di Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 Sept 2017.
Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Dis 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
#Rosmah Mansor #projek solar #Jepak Holdings #Saidi Abang Samsudin #Mohamed Zaini Mazlan #Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur