KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak boleh berdiam diri ketika Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara terus menunjukkan kejatuhan saban tahun.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menegaskan, rakyat juga perlu dipertanggungjawabkan kerana tidak bertindak biarpun kedudukan Malaysia semakin tidak memuaskan.

"Saya tahu ramai yang akan marah apabila saya cakap begini tetapi rakyat juga bertanggungjawab kerana kita berdiam diri.

"Jatuh ke kedudukan 62 berbanding tangga ke 57 pada 2020, dalam senarai 180 buah negara, ini bukan perkara yang boleh dibanggakan dan kita tidak boleh terus in denial (menafikannya).

"Pada 2019 kedudukan kita agak baik sedikit kerana adanya Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC). Sekarang pun masih ada tapi kita tidak tahu perkembangan kerana tiada kemas kini.

"Tindakan SPRM ketika itu meneruskan siasatan kes-kes besar merupakan satu perkara positif, walaupun nampak macam kita banyak kes rasuah tetapi ini mampu beri jangka panjang dalam membersihkan negara dari rasuah," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI Khas pada Selasa.

Ujarnya, pendidikan anti rasuah dan integriti perlu diterapkan dalam silibus sekolah bagi melahirkan generasi yang berani berkata tidak kepada rasuah.

"Kementerian Pendidikan (KPM) perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia bagi membolehkan subjek teras ini diajar di peringkat sekolah secara formal.

"Di masa hadapan, subjek ini boleh menjadi faktor penting bagi majikan membuat pilihan pekerja, dan tidak hanya melihat kepada kecemerlangan akademik semata-mata," ujar beliau lagi.

Tegasnya, kerajaan perlu serius menangani semua isu berkaitan integriti dan anti rasuah sekali gus membolehkan rakyat melihat komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan.

"Salah satu punca kejatuhan ranking kita ialah pengkhianatan yang dilakukan segelintir penjawat awam yangg terus melakukan rasuah. Laporan Ketua Audit Negara juga sering ulang tegur perkara yang sama.

"Justeru, anggota penjawat awam yang bersih dan berintegriti kena ambil tanggungjawab, tampil membuat laporan, manakala unit terpalit rasuah perlu dikenakan hukuman berat

"Ini konsep kepimpinan menerusi teladan yang perlu diamalkan segera," katanya lagi.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021 jatuh ke kedudukan 62, berbanding tangga ke 57 pada 2020.

Malaysia mencatatkan skor 48, berbanding skor sebanyak 51 peratus pada tahun sebelumnya.

Buletin AWANI Khas: Pengumuman Indeks Persepsi Rasuah 2021