Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Rasuah: Setiausaha Sulit Kanan bekas menteri dihukum penjara enam tahun, denda RM8.8 juta

Bernama 20/11/2025 | 08:20 MYT
Setiausaha Sulit Kanan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham dihukum penjara enam tahun dan denda RM8.8 juta oleh Mahkamah Sesyen. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Setiausaha Sulit Kanan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dihukum penjara enam tahun dan denda RM8.8 juta oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan menerima rasuah membabitkan tender perkhidmatan pengiklanan tujuh tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Setiausaha Sulit Kanan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dihukum penjara enam tahun serta denda RM8.8 juta atas lapan pertuduhan menerima rasuah tender perkhidmatan pengiklanan.
  • Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu berdasarkan kesalahan yang terbukti, mengelakkan tertuduh daripada melakukan kesalahan pada masa akan datang.
  • Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memohon hukuman berat atas tindakan tertuduh yang mencemarkan imej keluarga dan memberi kesan negatif terhadap kepercayaan masyarakat terhadap integriti kerajaan.


Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, 34, di akhir kes pembelaan.

"Hukuman penjara bermula hari ini... saya harap hukuman ini dapat menginsafkan dan mengelakkan kamu daripada melakukan kesalahan pada masa akan datang kerana kamu masih muda," katanya.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara antara tiga hingga enam tahun dan denda antara RM75,000 hingga RM2.5 juta bagi semua pertuduhan serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak.

Ini bermakna Mohd Saifullah perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun serta membayar denda berjumlah RM8.8 juta dan sekiranya gagal membayar denda, hukuman penjaranya ditambah selama tujuh tahun.

Dalam penghakimannya, Suzana berkata setelah mendengar keterangan saksi pembelaan, menilai keseluruhan keterangan termasuk peringkat pendakwaan serta mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pembelaan gagal mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagaimanapun, beliau membenarkan permohonan Mohd Saifullah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menetapkan jaminan RM280,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mohd Saifullah, yang mengenakan sut berwarna biru, menangis selepas mendengar keputusan itu.

Terdahulu, peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan ketika kejadian, anak guamnya yang menjadi Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi, masih muda serta naif dalam hal ehwal politik.

"Tertuduh mempunyai latar belakang pendidikan yang baik dan masih boleh memberi manfaat kepada masyarakat... selain itu, tertuduh adalah pesalah kali pertama dan telah memberi kerjasama yang baik sepanjang lima tahun perbicaraan berlangsung dan telah dan insaf," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pula memohon hukuman berat kerana tindakan tertuduh bukan sahaja mencemarkan imej keluarga malah telah memberikan kesan langsung kepada kepercayaan masyarakat terhadap integriti dan ketelusan urus tadbir kerajaan.

"Sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, tertuduh sepatutnya menghargai masa depan, bukan terlibat dalam kegiatan rasuah.

"Kesalahan yang dilakukan tertuduh melibatkan jumlah yang besar sehingga mempengaruhi tender," katanya.

Pada 23 Feb 2024, Mahkamah Sesyen memerintahkan Mohd Saifullah membela diri atas lapan pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya namun melepas serta membebaskannya daripada 11 pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM820,530 berhubung tender sama.

Mohd Saifullah didakwa menerima suapan berjumlah RM1,765,000 daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng, melalui Roslan Lahada sebagai dorongan mendapatkan tender "Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan dan Kreatif" bagi kempen Tourism Malaysia, serta tender Cadangan Promosi dan Pengiklanan Digital Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 secara rundingan terus kepada syarikat Plan B Digital Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di beberapa tempat antaranya di Red Box Karaoke dan Coffee Bean di pusat beli-belah Pavillion, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mohd Saifullah juga didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta di Vipod Residences dan Petronas Dengkil antara 11 pagi hingga 11.30 malam pada 21 Dis 2018 hingga 1 Mac 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

-- BERNAMA




#setiausaha sulit kanan #bekas menteri pelancongan #Rasuah #dipenjara #Mohd Saifullah Mohd Minggu #terkini