KUALA LUMPUR: Pegawai dan kakitangan di bahagian kritikal disaran ditukarkan penempatan mereka setiap tiga tahun, bagi mengelak terdedah kepada rasuah.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, meletakkan seseorang petugas berada terlalu lama pada satu-satu tempat akan membuka ruang kepada rasuah atau kesalahan lain yang membabitkan integriti.

"Selain penguatkuasaan, setiap pegawai yang diletakkan di unit atau jabatan yang berisiko tinggi bukan sahaja dipilih dalam kalangan pegawai yang berintegriti sebaliknya perlu mengamalkan sistem pergiliran.

"Terutamanya membabitkan mereka yang berada di bahagian perolehan kontrak dan bahagian kewangan tidak boleh diletakkan dalam unit yang sama lebih dari tiga tahun," katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Rabu.

BACA: Pemberian kontrak kerajaan: 'Wahyu' ahli politik paksa pegawai atasan akur

Dalam pada itu, Akhbar memberitahu, ketika proses pemberian kontrak, jawatankuasa teknikal, kewangan dan ketua jabatan selalunya ada hubungan baik dengan kroni.

Mengambil model di Denmark, beliau memberitahu, bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlaku, sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada individu awam yang berkepentingan memberi cadangan kepada lembaga.