#RasuahBusters kemuka tuntutan, pastikan proses pemulihan negara berteras integriti

Bernama
Julai 20, 2022 15:31 MYT
Nurhayati berkata, penguatkuasaan undang-undang melalui kestabilan politik sebagai batu asas juga perlu diterapkan. - Gambar fail
SHAH ALAM: Gerakan #RasuahBusters hari ini mengemukakan beberapa tuntutan politik bagi memastikan proses pemulihan negara khususnya selepas pandemik COVID-19 adalah bertunjangkan kepada prinsip integriti dan ketelusan.
Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters Nurhayati Nordin berkata selain dua prinsip itu, penguatkuasaan undang-undang melalui kestabilan politik sebagai batu asas juga perlu diterapkan.
"#RasuahBusters bersama wakil gabungan hari ini mengemukakan tuntutan-tuntutan yang perlu diletakkan sebagai agenda utama pembentangan di Parlimen dan rakyat diharap memberikan sokongan penuh agar proses pemulihan negara dapat berjalan secara bersepadu dan holisitik," katanya dalam sidang media Enam Tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah 'Apa Dah Jadi?' di sini hari ini.
Beliau berkata tuntutan itu ialah penggubalan Akta Lompat Parti yang menjadi permulaan kepada transformasi yang diperlukan dalam memartabat demokrasi Parlimen dan sebagai usaha menyelamatkan negara daripada kemelut politik, kesihatan dan keselamatan selain menjadikan mandat rakyat sebagai keutamaan.
"Tuntutan seterusnya ialah mempercepat pembentangan dan pelaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik supaya manipulasi sistem, prosedur, konflik kepentingan, kelemahan kawalan dan apa-apa ketirisan akan dapat disekat serta mampu menghakis politik rasuah yang menggugat integriti institusi politik.
"Tuntutan terakhir ialah memastikan kebebasan dan ketelusan institusi antaranya Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus terpisah serta bebas," katanya.
Turut hadir Ketua Pasukan Teras #RasuahBusters Datuk Hussamuddin Yaacub yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf.
-- BERNAMA
#RasuahBusters #pemulihan negara #integriti #Nurhayati Nordin