KUALA LUMPUR: Pendaki solo negara, T Ravichandran sedih dengan kehilangan dua orang pendaki dari Malaysia iaitu Muhammad Hawari Hashim dan juga Awang Askandar Ampuan Yaacub semasa Ekspedisi Everest-Lhotse 2023.

Menurut lelaki 58 tahun itu, dengan nada sedih beliau tidak menyangka tragedi yang menimpa dua orang rakyat Malaysia memberi kesan mendalam buatnya.

"Ini kali pertama kita kehilangan dua orang yang hebat. Ini berlaku semasa ekspedisi saya dan kami cuma lima orang sahaja rakyat Malaysia di situ sudah tentu kehilangan mereka memberi kesan kepada saya.

"Walaupun kita berbeza pasukan tapi kita sering berjumpa di laluan yang sama. Semasa menuju ke puncak Hawari bersama-sama dengan saya. Tapi nasib tidak menyebelahi dia," jelasnya semasa berada di Pintu Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Ahad.

Pada 20 Mei, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah dilaporkan meninggal dunia pada10.30 pagi waktu Nepal (12.45 tengah hari waktu Malaysia) selepas terjatuh pada malam kelmarin kira-kira 20 minit dari puncak Everest dan berita sedih itu dimaklumkan Ketua Misi ME2023 yang juga seorang pendaki, Azim Afif Ishak,35.

Dalam pada itu, Pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari yang berjaya menawan puncak Everest (8,848 meter dari paras laut) pada Khamis dilaporkan hilang pada Sabtu dan disahkan Ketua Misi Ekspedisi, Azim Afif Ishak ketika dihubungi Bernama TV serta operasi pencarian masih dijalankan.

Tambah Ravi, semasa kejadian kehilangan yang menimpa Muhammad Hawari dan tragedi Awang Askandar hanya disedari oleh beliau semasa mendapatkan rawatan di Kathmandu.

Beliau berkata, kejadian yang menimpa dua individu itu hanya dimaklumkan oleh petugas di sana dan sehingga kini dia masih mengharapkan ada perkembangan terbaharu.

"Tahun lalu kami balik ke Malaysia dengan perasaan bangga, tetapi tahun ini berbeza dan itulah bagaimana Everest berjaya 'menawan' kita.

"Ini merupakan tahun kedua saya bertemu Hawari dan kali ini kami berbeza jadual iaitu beza sehari sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Nicko Jeep Manufacture Sdn Bhd bersama Himalaya Sports selaku penaja utama berkata, pencapaian Ravi akan memberi inspirasi kepada golongan muda untuk terus percaya pada diri sendiri bagi menghadapi cabaran hidup

"Kami di Himalaya Sports ingin menjadi rakan yang boleh membawa kehebatan individu dan segarkan keadaan semula perasaan anda," katanya. -- Sinar Harian