PUTRAJAYA: Prosiding rayuan keputusan membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) akan didengar di Mahkamah Rayuan di sini pada 18 Mac tahun depan.

Tarikh berkenaan ditetapkan ketika pengurusan kes di hadapan, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Menurut sumber, sebutan kes dibuat pada 29 Januari 2024 sementara prosiding pendengaran kes 18 Mac tahun sama.

“Pada sebutan kes itu, pihak-pihak perlu memaklumkan kepada mahkamah mengenai status representasi (dikemukakan Ahmad Zahid) supaya rayuan pendakwaan ditarik balik,” katanya ketika dihubungi media.

Pada Jun 2019, Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung Sistem VLN.

Ia membabitkan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta (RM47.08 juta) daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta bagi mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi kes itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1.15 juta (RM4 juta), RM3.125 juta, 15,000 Swiss Franc (RM79,000) dan AS$15,000 (RM70,200) daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Kesemua perbuatan didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

Pada 23 September 2022, Presiden UMNO itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Pada 29 Disember tahun lalu, pendakwaan memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ahmad Zahid daripada

40 pertuduhan menerima rasuah daripada UKSB untuk menyambung kontrak Visa Luar Negara (VLN) dan Pusat Sehenti (OSC) di China.

Pendakwaan mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh Hakim, Datuk Mohd Yazid Mustafa, terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes itu.

Hakim itu didakwa terkhilaf daripada segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan gagal menilai secara menyeluruh keterangan bagi membuktikan setiap elemen kesalahan dihadapi Ahmad Zahid selepas dibebaskan pada 23 September lalu. - Sinar Harian