Skip to main content

Malaysia

Rayuan bantuan kerajaan terbuka kepada golongan terjejas kewangan termasuk M40 - Liew

Liew berkata kerajaan berhasrat memperbesar kumpulan kelas pertengahan sehingga jumlahnya melebihi golongan B40 sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.  - Foto Bernama
Liew berkata kerajaan berhasrat memperbesar kumpulan kelas pertengahan sehingga jumlahnya melebihi golongan B40 sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan membuka ruang rayuan bantuan kepada individu, termasuk kumpulan M40 yang kehilangan pekerjaan, untuk penilaian semula berdasarkan status kewangan terkini.
  • Kerajaan berhasrat memperbesar kumpulan kelas pertengahan agar melebihi golongan B40 sebagai usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.
  • Belanjawan 2027 memperkenalkan inisiatif seperti kenaikan had pelepasan cukai individu dan peluasan pelepasan cukai rawatan perubatan serta yuran pengajian.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa membuka ruang rayuan bantuan kepada mereka yang mengalami perubahan status kewangan, termasuk golongan pertengahan (M40) yang kehilangan pekerjaan, bagi membolehkan permohonan dinilai semula berdasarkan keadaan semasa.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata mekanisme rayuan itu membolehkan penerima yang tidak lagi memenuhi syarat berdasarkan rekod terdahulu mengemukakan permohonan sekiranya situasi kewangan mereka berubah.

“Walaupun dalam keadaan pengangguran, sebenarnya rayuan dibuka setiap hari dan setiap penerima bantuan boleh membuat rayuan kalau status sedia ada telah berubah. Mereka boleh buat rayuan setiap hari,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai mekanisme bagi memastikan kumpulan M40 yang kehilangan pekerjaan dan mengalami kemerosotan pendapatan dinilai semula kelayakan serta bantuan bersasar mereka berdasarkan kedudukan kewangan semasa.

Pada masa sama, Liew berkata kerajaan berhasrat memperbesar kumpulan kelas pertengahan sehingga jumlahnya melebihi golongan B40 sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

“Masalah sebenar negara kita ialah kelas pertengahan ini kurang daripada golongan yang lebih miskin. Kerajaan berhasrat satu hari nanti kita ada kelas pertengahan yang lebih besar daripada kelas B40. Itu hasrat yang kita harap boleh diwujudkan,” katanya.

Sementara itu, Liew berkata kerajaan mendengar keresahan M40 yang cekal bersabar meskipun turut terhimpit beban sara hidup dengan beberapa inisiatif diterjemahkan dalam Belanjawan 2027.

Beliau berkata ia termasuk had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010, kini dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.

Selain itu, pelepasan cukai individu turut diperluas untuk rawatan perubatan meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin manakala yuran pengajian dan kemahiran diperluas meliputi semua bidang pengajian dan tuisyen anak.

Beliau menjawab soalan asal Adnan yang ingin tahu langkah membantu isi rumah M40 yang tidak lagi layak menerima bantuan bersasar tetapi terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement