MALAYSIA
Rayuan bekas askar ditamatkan perkhidmatan kerana enggan ambil suntikan vaksin COVID-19 ditolak

Wan Ramli, merayu terhadap perintah Mahkamah Tinggi pada 12 Jan 2023 yang menolak semakan kehakimannya bagi mencabar keputusan responden. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan seorang bekas anggota tentera terhadap penamatan perkhidmatannya daripada Angkatan Tentara Malaysia kerana enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azimah Omar memutuskan bahawa tiada unsur ketidakpatuhan undang-undang atau kecuaian prosedur oleh responden ketika menamatkan perkhidmatan Wan Ramli Wan Seman.
"Mahkamah berpandangan bahawa rayuan ini tidak mempunyai merit dan justeru itu, ditolak," katanya.
Tiada perintah mengenai kos dibuat oleh panel itu.Turut bersidang Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim.
Wan Ramli, 43, merayu terhadap perintah Mahkamah Tinggi pada 12 Jan 2023 yang menolak semakan kehakimannya bagi mencabar keputusan responden.
Menerusi semakan kehakiman, Wan Ramli menamakan Leftenan Kolonel Sharull Hesham Md Yasin, Leftenan Mohamad Azammunir Mohd Ashri, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Angkatan Tentera Malaysia dan kerajaan sebagai responden.
Beliau memohon perintah certiorari bagi membatalkan surat penamatan perkhidmatannya bertarikh 4 Ogos 2021 serta deklarasi bahawa ia adalah tidak sah serta terbatal.
Wan Ramli mendakwa penamatan perkhidmatan secara tidak terhormat itu telah menyebabkan beliau hilang kelayakan pencen di bawah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga mendakwa alasan responden bagi penamatan perkhidmatannya adalah tidak munasabah, bersifat menindas, tidak rasional dan merupakan diskriminasi yang menyalahi undang-undang selain mengambil kira faktor yang tidak berkaitan.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Ahmad Kamal Md Shahid (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa keputusan menamatkan perkhidmatan Wan Ramli adalah selaras dengan undang-undang dan tidak mengandungi unsur ketidaksahan, ketidakwajaran atau cacat daripada segi prosedur.
Pada prosiding hari ini, Wan Ramli diwakili peguam Hafiz Norkhan manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan serta Peguam Persekutuan Solehheen Mohammad Zaki hadir bagi pihak responden.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami