PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi pampasan RM300,000 kepada ahli politik Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan kerana penahanan salah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketika dihubungi Bernama, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Khairuddin mengesahkan tarikh baharu itu ditetapkan semasa prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz hari ini.

Terdahulu, panel tiga hakim terdiri daripada Datuk S.Nantha Balan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing menangguhkan pendengaran rayuan itu kerana mereka mahu peguam Khairuddin serta Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi, yang mewakili kerajaan, mengemukakan hujahan lanjut berhubung isu pendakwaan berniat jahat.

Panel itu sepatutnya mendengar rayuan berkenaan hari ini secara dalam talian.

Nantha Balan kemudian menetapkan prosiding pada sebelah petang untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh baharu pendengaran rayuan itu.

"Ia (rayuan ini) menyentuh isu kebebasan Khairuddin yang dinafikan bagi satu tempoh dan saya berpandangan adalah adil untuk beliau hadir di mahkamah serta mendengar mengenainya daripada sekadar melihat (prosiding itu) melalui komputer," katanya.

Pada Mei 2018, Khairuddin memfailkan saman terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Kerajaan Malaysia serta lima lagi.

Mereka ialah ASP Wan Aeidil Wan Abdullah dan ASP C.Muniandy (kedua-duanya adalah pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman), Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi Superintenden Habibi Majinji, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud dan Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Khairuddin mendakwa beliau pada mulanya ditahan oleh pihak berkuasa pada 18 Sept 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Selepas dibebaskan, beliau ditahan semula pada 23 Sept 2015 di bawah SOSMA dan didakwa di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 124L akta sama iaitu cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan serta kwangan negara.

Pada Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi telah membenarkan tuntutan Khairuddin bagi penahanan salah dan memberikan pampasan sebanyak RM300,000.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Quay Chew Soon menolak saman bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu terhadap kerajaan bagi pendakwaan berniat jahat.

-- BERNAMA