NATIONAL
Rayuan kes Syed Saddiq: Arah ‘clearkan’ RM1 juta bukti tindakan tidak jujur – Timbalan Pendakwa Raya

Syed Saddiq (tengah) tiba di Mahkamah Rayuan untuk pendengaran rayuan Ahli Parlimen Muar itu terhadap sabitan dan hukuman bagi empat kesalahan berkaitan dana Armada. -Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu untuk ‘membersihkan’ wang berjumlah RM1 juta bagi mengelakkan ia disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan sebagai tidak jujur, kata Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Ringkasan AI
- Syed Saddiq mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu untuk mengeluarkan RM1 juta bagi mengelakkan ia disita SPRM, yang disifatkan Timbalan Pendakwa Raya sebagai tidak jujur.
- Syed Saddiq tidak dituduh melakukan pecah amanah secara langsung, tetapi bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali.
- Syed Saddiq merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya atas empat pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta.
Arahan itu turut melibatkan Abdul Hannaan Khairy dan seorang lagi saksi.
Melalui perbualan telefon, Syed Saddiq menyatakan kebimbangan bahawa wang berkenaan akan disita SPRM, dan mengarahkan ia dikeluarkan daripada akaun bank parti.
Ketika disoal balas, saksi pendakwaan ke-13 (SP13), Rafiq menjelaskan bahawa istilah ‘clearkan’ bermaksud tidak menyimpan wang tersebut di rumah.
Rafiq juga memberitahu mahkamah bahawa Syed Saddiq mendakwa wang itu adalah hasil titik peluhnya, justeru perlu dikeluarkan dari akaun Armada.
Wan Shaharuddin menegaskan, Syed Saddiq tidak dituduh melakukan pecah amanah secara langsung, sebaliknya bersubahat dengan Rafiq.
Pendakwaan hanya perlu membuktikan bahawa perayu mengeluarkan arahan untuk melakukan perbuatan tersebut.
Tambahnya, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi untuk mensabitkan kesalahan dibuat berdasarkan undang-undang dan bukti yang kukuh, tanpa sebarang kesilapan yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Justeru, pihak pendakwaan memohon agar sabitan kesalahan bersubahat pecah amanah dikekalkan, dan hukuman sebat yang dijatuhkan dianggap wajar memandangkan usia tertuduh yang masih muda.
Syed Saddiq kini merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November lalu yang mensabitkannya atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram melibatkan dana Armada.
Beliau dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, namun pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami