[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
NATIONAL

Rayuan kes Syed Saddiq: Tiada bukti wang derma digunakan untuk kempen PRU14 - Pendakwaan

Yasmin Natasha 17/04/2025 | 08:40 MYT
Syed Saddiq (kanan) ketika tiba di Mahkamah Rayuan untuk pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi empat kesalahan berkaitan dana Armada. -Astro AWANI / SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa tiada pengeluaran wang derma digunakan bagi kempen Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Ringkasan AI
  • Pihak pendakwaan mendakwa tiada wang derma digunakan bagi kempen Syed Saddiq dalam PRU14, dan kutipan derma mencapai RM124,815.
  • Syed Saddiq mengarahkan pemindahan RM120,000 ke akaun peribadi, tetapi tiada bukti wang itu digunakan untuk kempen.
  • Syed Saddiq merayu untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman atas empat kes subahat pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan menghujahkan demikian ketika prosiding hari terakhir rayuan Syed Saddiq, 33, selaku perayu bagi mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman atas empat kes subahat pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram (AMLA).
Ketika hujahan di hadapan panel tiga hakim, Farah Ezlin berkata, sebelum ini, dua majlis kutipan derma itu telah dibuat, dikatakan untuk mendapatkan sokongan dan meraih dana bagi calon yang akan bertanding dalam pilihan raya berkenaan.
Dua majlis itu ialah ‘Makan Amal Muo’ di sebuah dewan di Muar pada 7 April 2018 dan ‘Fund Battle for Johor’ di sHotel De’ Palma, Ampang pada keesokan harinya.
Beliau berkata, kutipan daripada majlis itu mencapai jumlah RM124,815 dan ia dimasukkan ke dalam akaun Maybank atas nama ABBE milik penolong bendahari parti ketika itu, Rafiq Hakim Razali, 35.
Menurutnya, Syed Saddiq telah mengarahkan Rafiq Hakim yang juga saksi pendakwaan ke-13 (SP13) memindahkan RM120,000 ke akaun peribadi Maybank milik perayu.
“Bagaimanapun, perayu tidak pernah memaklumkan kepada SP13 bahawa wang ini merupakan ‘pembayaran balik’ kerana telah mendahulukan wang sendiri semasa PRU14.
“Bukan itu sahaja, tiada bukti yang menunjukkan bahawa sumber wang yang digunakan dalam kempen itu sememangnya berasal daripada dana peribadi dan perlu bayaran balik," katanya.
#Mahkamah Rayuan #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #pengubahan wang haram #PRU14