MALAYSIA

Rayuan Najib untuk hidupkan semula saman terhadap Tommy Thomas ditolak

Bernama 13/01/2026 | 05:49 MYT
Mahkamah Rayuan menolak rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) dalam kes saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas (kiri). -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini gagal dalam rayuannya untuk menghidupkan semula saman RM1.9 juta yang difailkan beliau terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Rayuan menolak rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.
  • Panel hakim Mahkamah Rayuan bersetuju bahawa tindakan saman tersebut adalah jelas pramatang kerana kes jenayah belum bermula ketika saman difailkan.
  • Mahkamah juga menolak tuntutan Najib terhadap ganti rugi khas RM1.9 juta dan menetapkan kos RM12,000 ke atas Najib.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Datuk Ravinthran N. Paramaguru, yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, berkata panel itu bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa memandangkan kes jenayah belum bermula ketika saman tersebut difailkan, tindakan bagi salah laku dalam jawatan, penyalahgunaan proses dan kecuaian adalah jelas pramatang.

"Kami juga mendapati tort penyalahgunaan proses tidak wujud dalam undang-undang kita," kata Ravinthran yang bersidang bersama-sama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.

Mahkamah menolak rayuan Najib dengan kos RM12,000.

Najib merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Nov 2022 yang membatalkan samannya terhadap Thomas.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah memfailkan saman tersebut pada 22 Okt 2021 yang mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasanya apabila mendakwa beliau berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ravinthran juga berkata Mahkamah Tinggi telah mendapati bahawa Thomas mempunyai kekebalan dan tindakan beliau tidak boleh diadili.

"Berhubung isu kekebalan dan kebolehadilan, kami tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi kerana Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan kekebalan kepada Peguam Negara berhubung saman sivil yang difailkan terhadapnya secara peribadi.

"Kes yang dirujuk oleh Mahkamah Tinggi tidak terpakai kerana terdapat kes jenayah yang menyaksikan budi bicara Peguam Negara telah dicabar," katanya.

Menerusi saman itu, Najib mendakwa Thomas telah bertindak secara berniat jahat apabila memfailkan pertuduhan terhadap beliau berkaitan kes 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pertuduhan itu termasuk salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan beberapa pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Antara lain, Najib memohon deklarasi mahkamah bahawa Thomas telah melakukan tort salah laku dalam jawatan awam.

Thomas berkhidmat sebagai Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.

Najib juga menuntut ganti rugi khas RM1.9 juta yang merangkumi kos yang ditanggung bagi melantik pasukan audit untuk menyemak dokumen serta menyediakan pembelaan bagi prosiding jenayah.

Najib diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin manakala peguam Alan Adrian Gomez mewakili Thomas.

Ketika ditemui selepas prosiding itu, Firoz Hussein berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada Najib sama ada untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas?
    A: Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib berdasarkan alasan tindakan saman tersebut adalah pramatang kerana kes jenayah belum bermula semasa saman difailkan.
  • Q: Berapa kos yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan ke atas Najib dalam kes ini?
    A: Mahkamah menetapkan kos sebanyak RM12,000 ke atas Najib berhubung kes ini.
  • Q: Apakah tindakan yang difailkan oleh Najib terhadap Thomas dalam saman tersebut?
    A: Najib mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasanya berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan International Petroleum Investment Company (IPIC).
  • Q: Siapakah individu yang mewakili Najib dan Thomas dalam prosiding mahkamah ini?
    A: Najib diwakili oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin manakala Thomas diwakili oleh peguam Alan Adrian Gomez.



#Najib Razak #Tommy Thomas #Mahkamah Rayuan #pramatang #tolak rayuan