PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Feb tahun depan untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengembalikan semula saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas atas dakwaan salah guna jawatan awam.

Peguam Daniel Annamalai, antara peguam yang mewakili Najib mengesahkan tarikh pendengaran rayuan itu ketika dihubungi Bernama.

Rayuan Najib pada mulanya ditetapkan untuk pendengaran minggu lepas, namun tidak diteruskan kerana hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim menarik diri daripada mendengar rayuan itu.

Beliau berkata beliau berhasrat untuk menarik diri daripada mendengar rayuan itu atas alasan suaminya pernah berkhidmat di bawah Thomas ketika menjadi Peguam Negara.

Pada 25 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib tanpa perbicaraan penuh.

Najib menyaman Thomas kerana mendakwa beliau telah dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).Thomas adalah Peguam Negara dari 4 Jun 2018, hingga 28 Feb 2020.

Dalam saman yang difailkan pada 22 Okt 2021, Najib berkata pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Thomas adalah Peguam Negara dari 4 Jun 2018, hingga 28 Feb 2020.

Najib memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah menyalah guna jawatan awam serta menuntut ganti rugi sebanyak RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.

-- BERNAMA