MALAYSIA

Rayuan pendakwaan tidak bermerit - Pihak pembelaan Syed Saddiq

Sinar Harian 19/12/2025 | 08:35 MYT
SPRM mengesahkan bahawa rayuan terhadap keputusan membebaskan Syed Saddiq akan diteruskan selepas hampir seminggu diberi masa untuk bertenang. - Gambar fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan di sini bahawa rayuan terhadap pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan diteruskan, pihak pembelaan yang mewakili Ahli Parlimen Muar itu membalas dengan hujahan bahawa rayuan berkenaan tidak bermerit dan wajar ditolak.


Ringkasan AI
  • Pihak pendakwaan meneruskan rayuan terhadap pembebasan Syed Saddiq atas kes penyelewengan dana Armada, sementara pihak pembelaan menyatakan rayuan itu tidak bermerit dan patut ditolak.
  • Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipimpin oleh Datuk Abu Bakar Jais meminta pihak pendakwaan dan pembelaan untuk bertenang sebelum membuat keputusan mengenai meneruskan rayuan.
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa rayuan terhadap keputusan membebaskan Syed Saddiq akan diteruskan selepas hampir seminggu diberi masa untuk bertenang.


Rayuan itu membabitkan permohonan pendakwaan selaku perayu terhadap pembebasan Syed Saddiq, 33, daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat kes penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tujuh tahun lalu.

Menerusi surat daripada firma guaman Mustafa Ling & Co yang dihantar kepada Timbalan Pendaftar pada Khamis, pihak pembelaan memohon panel tiga hakim yang mendengar rayuan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan anak jati Johor Bahru tersebut.

Mereka merujuk kepada nasihat Presiden Mahkamah Rayuan selaku ketua panel tiga hakim pada 12 Disember lalu, yang meminta pihak pendakwaan selaku perayu dan pihak pembelaan sebagai responden menilai semula kedudukan masing-masing mengenai prosiding terbabit.

Katanya, pihak responden mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan menghargai kebijaksanaan hakim dalam memberikan cadangan tersebut.

Menurut surat itu, pihak responden telah mendalami nasihat dan pandangan yang diutarakan oleh ketua panel hakim.

Susulan itu, responden berkata, mereka telah berhubung dan berbincang dengan pihak perayu serta menasihati anak guam mengenai pandangan dan nasihat tersebut.

“Kami menyatakan bahawa rayuan perayu bagi kes itu tidak bermerit, seperti yang telah dihujahkan ketika pendengaran rayuan lalu.

“Responden menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan hakim panel rayuan untuk membuat keputusan yang bijaksana serta adil bagi semua pihak,” katanya.

Pada 12 Disember, tindakan panel tiga hakim yang tidak memberikan keputusan atau menetapkan tarikh baharu selepas mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas Ketua Armada Bersatu itu mencetuskan perhatian luar biasa masyarakat umum.

Lebih mengejutkan, mahkamah bukan sekadar menangguhkan keputusan, malah memberikan tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan dan pembelaan untuk ‘bertenang’.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Abu Bakar Jais turut meminta pihak pendakwaan dan pembelaan meneliti semula hujahan yang telah difailkan.

Beliau yang bersidang bersama dua hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, berkata pihak-pihak perlu bertenang sebelum memutuskan sama ada mahu meneruskan rayuan atau sebaliknya.

Selepas hampir seminggu diberi masa untuk bertenang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa rayuan terhadap keputusan yang membebaskan Syed Saddiq akan diteruskan seperti dirancang.

Berdasarkan surat yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar, pihak pendakwaan telah mendapatkan pandangan dan arahan Peguam Negara berhubung arahan Presiden Mahkamah Rayuan kepada pihak pendakwaan dan pembelaan pada Jumaat minggu lalu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mengarahkan agar rayuan ini diteruskan dan apa jua keputusan mahkamah hendaklah diterima.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

Bagaimanapun, pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman tersebut.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, sebulat suara menyatakan bahawa tindakan mengarahkan seseorang mengeluarkan wang tidak boleh dikategorikan sebagai melupuskan dana.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, Penolong Bendahari Armada Bersatu, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk kepentingan sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE), dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram, iaitu memindahkan masing-masing RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Perbuatan itu didakwa berlaku di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. -- Sinar Harian






#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #rayuan pendakwaan #dana armada #tiada merit