PUTRAJAYA: Pasukan pembelaan akan memfailkan hujahan bertulis yang baharu bagi tujuan rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Ketua pasukan pembelaan, Hisyam Teh Poh Teik berkata, perkara itu perlu dijelaskan memandangkan pengerusi panel lima hakim, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada sebelah pagi bertanya sekiranya Hisyam ingin menggunakan jawapan bertulis yang difailkan sewaktu di peringkat Mahkamah Rayuan.

Ketua Hakim Negara bertanyakan soalan itu bagi mendapat kepastian memandangkan Hisyam pada pagi ini memberitahu mahkamah beliau tidak dapat memberi hujahan lisan memandangkan tidak mempunyai persediaan secukupnya.

“Awal hari ini Yang Arif (Tengku Maimun) bertanya kepada saya sekiranya saya ingin menggunakan hujahan bertulis yang difailkan di Mahkamah Rayuan pada 2021. Dan saya menjawab ya.

“Pada peringkat ini, saya ingin memasukkan dalam rekod bahawa saya akan memfailkan hujahan bertulis yang baharu bagi pihak perayu,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Hisyam tidak memaklumkan bila beliau akan berbuat demikian.

Sewaktu di awal prosiding hari ini, Hisyam menyatakan bahawa beliau ingin memohon maaf kerana tidak dapat memberi hujahan lisan atas alasan tidak bersedia.

Beliau juga memaklumkan telah mengambil keputusan untuk mengecualikan diri daripada terus mewakili Najib.

Susulan kenyataan itu, Tengku Maimun yang kelihatan kurang senang dengan permintaan tersebut, mengingatkan semua pihak bahawa mahkamah telah buat keputusan pada Selasa lepas mengenai permohonan menangguhkan rayuan sekurang-kurangnya tiga bulan dari sekarang.

Katanya lagi, pengecualian akan mengakibatkan anak guam tersebut tidak diwakili sesiapa, selain mengingatkan Hisyam bahawa keputusan adalah tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Tengku Maimun berkata, mahkamah mempunyai keyakinan terhadap Hisyam untuk urusan pembelaan, bagaimanapun, peguam itu seakan-akan tidak mahu berganjak daripada pendiriannya.

Selepas mahkamah berehat seketika, Tengku Maimun menyampaikan keputusan panel hakim yang menolak permohonan Hisyam untuk mengecualikan diri.

“Peguam bela hanya boleh mengundurkan diri selepas menunjukkan sebab yang munasabah (untuk pengunduran tersebut), dan mahkamah mempunyai budi bicara untuk menentukan sama ada fakta yang dibentangkan boleh mewujudkan sebab yang berpatutan.

“Kami sebulat suara berpandangan peguam (Hisyam) gagal menunjukkan sebab yang diperlukan (untuk pengunduran itu). Maka permohonan beliau untuk mengundurkan diri ditolak dan perlu kekal berada dalam rekod demi kepentingan keadilan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Hisyam berkata, beliau tidak boleh membuat sebarang hujahan dan hanya bergantung kepada hujahan bertulis yang sedia ada.

ends