[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Rayuan terhadap pembebasan Syed Saddiq, pendakwaan bersedia

Bernama 30/09/2025 | 09:34 MYT
Syed Saddiq sebelum ini dikenakan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi, namun dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan bersedia meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).


Ringkasan AI
  • Pihak pendakwaan bersedia meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana ARMADA.
  • Pendengaran rayuan dijangka berlangsung hujung November atau awal Disember, walaupun peguam Syed Saddiq memohon agar ditetapkan pada Januari; mahkamah meminta surat rasmi daripada pihak responden untuk pertimbangan tarikh baharu.
  • Syed Saddiq sebelum ini dikenakan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi, namun dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan; pendakwaan telah memfailkan petisyen rayuan dan kes kini menunggu tarikh pendengaran.


Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata arahan telah dikeluarkan oleh Ketua Hakim Negara supaya pendengaran rayuan itu ditetapkan pada hujung November atau awal Disember ini.

"Pihak perayu (pendakwaan) telah bersedia dan hujahan sudah siap. Namun responden (Syed Saddiq) yang diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon agar tarikh pendengaran ditetapkan pada Januari, tetapi permohonan itu tidak dipersetujui oleh mahkamah.

"Bagaimanapun, mahkamah minta kedua-dua pihak terutama responden untuk menulis surat sebelum menetapkan tarikh pengurusan kes baharu," katanya ketika dihubungi pemberita selepas prosiding pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Mahyun Yusof.

Sementara itu, Hisyam ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pihaknya diminta mengemukakan alasan bagi permohonan tarikh pada Januari menerusi surat yang akan diserahkan kepada mahkamah hari ini.

Pada 25 Jun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan serta hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Nov 2023.

Sehari kemudian (26 Jun) Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu dan pihak pendakwaan telah memfailkan petisyen rayuan pada 22 Sept lepas.

Syed Saddiq, 32, didakwa bersubahat bersama bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah RM1 juta dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda.

Beliau turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram dengan memindahkan RM50,000 setiap satu ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda lima kali ganda nilai terbabit, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


#Syed Saddiq #pengubahan wang haram #kes mahkamah #Mahkamah Persekutuan