[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

Razarudin sah tamat kontrak Ketua Polis Negara 22 Jun ini

Bernama 15/06/2025 | 08:15 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain melambai tangan pada Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat MADANI di Kompleks Institut Pengajian Tasauwuf, hari ini. - Foto Bernama
KUALA PILAH: Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan akan menamatkan kontrak sebagai Ketua Polis Negara pada 22 Jun ini, selepas dua tahun memegang tampuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ringkasan AI
  • Kontrak tamat 22 Jun: Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan akan menamatkan kontraknya sebagai Ketua Polis Negara selepas dua tahun berkhidmat, atas permintaan ibunya dan keinginan memberi laluan kepada pengganti baharu.
  • Latar belakang dan pelantikan: Beliau dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-14 secara kontrak bermula 23 Jun 2023, menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, selepas bersara wajib.
  • Majlis serah tugas: Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Berundur dijadual berlangsung pada 20 Jun, menandakan penamatan rasmi perkhidmatan beliau sebagai ketua tertinggi PDRM

Beliau berkata hasrat tersebut turut didorong oleh permintaan ibunya Rahmah Abdul Rahman, 86, yang menasihatinya agar tidak menyambung kontrak demi memberi laluan kepada individu baharu.
"Ini adalah program terakhir saya, insya-Allah kalau tiada apa-apa 20 Jun ini Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Berundur akan berlaku.
"Pertama sekali saya kena beritahu, ibu saya memang kalau boleh dia cakap jangan sambung lagi (kontrak) dan sepatutnya saya habis kontrak memang tidak perlu sambunglah.
"Apabila ibu saya berhasrat begitu, saya akur. Sebutan daripada mulutnya ialah satu doa, saya tidak berani ingkar dengan apa yang dikehendaki ibu saya," katanya kepada pemberita pada Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat MADANI 2025 Ketua Polis Negara di Kampung Parit Seberang di sini hari ini.
Razarudin berkata hajat tersebut kemudian disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata tiada keperluan untuknya menyambung kontrak lagi kerana tempoh dua tahun itu sudah memadai dan kini perlu ada pengganti baharu.
Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-14 selama dua tahun secara kontrak selepas bersara, berkuat kuasa 23 Jun 2023 bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Beliau yang dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.
-- BERNAMA
#Razarudin Husain #Ketua Polis Negara #tamat kontrak #hasrat ibu #terkini