KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji pengendalian kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan tidak boleh menghukum mana-mana pihak dalam kes berkenaan kerana ia bukan di bawah bidang kuasa suruhanjaya itu, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penubuhan RCI itu sebaliknya bertujuan menjadi 'misi untuk mendapatkan maklumat' bagi memastikan proses pengumpulan maklumat kes itu dapat dilaksanakan dengan baik sekali gus menyelesaikan isu-isu berbangkit yang dihadapi pasukan petugas khas.

"Hendak bercakap tentang hukuman, bukan bidang kuasa RCI, dia tidak boleh menghukum. Dia hanya ada kuasa menghukum jika orang yang dipanggil tidak mahu datang, itu dia boleh hukum... penghinaan bila dipanggil (tetapi tidak datang) adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 13.

"Penghinaan itu maksudnya ialah apa-apa perbuatan yang tidak menghormati ataupun apa-apa celaan ataupun apa-apa ancaman terhadap mana-mana RCI ini sebenarnya kita lihat sebagai hanya hukuman yang ada, bila dipanggil tak datang boleh dikenakan hukuman dan tindakan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang bertanyakan apakah implikasi kes itu kepada negara berikutan kesalahan tersebut amat berat dan hukuman boleh dikenakan kepada pesalah.

Pada 14 Feb lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan penubuhan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan berkuat kuasa serta merta.

Penubuhan RCI itu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) dan diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif selaku Pengerusi.

Azalina berkata hasil siasatan RCI itu akan dibawa dan dibentangkan kepada Kabinet untuk menentukan hasilnya serta hukuman jika perlu, sebelum dibentangkan secara menyeluruh kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Komitmen daripada kerajaan MADANI selepas proses ini, kita akan bentang ke Parlimen supaya Dewan Rakyat, Dewan Negara dapat melihat sebenarnya apa yang telah berlaku, kenapakah perkara ini boleh berlaku dan apakah sepatutnya dijalankan supaya jangan lagi perkara ini berulang," katanya.

Menjawab soalan asal Mohamad Fatmi mengenai manfaat yang akan diperolehi daripada penubuhan RCI itu, Azalina berkata terma rujukan RCI yang dibentuk itu jelas membenarkannya memiliki kelebihan kuasa untuk melaksanakan siasatan secara lancar bagi memastikan kebenaran dalam isu itu dapat dicari.

"Antara terma rujukan RCI adalah mendapatkan penemuan keterangan-keterangan lanjut yang berkaitan, menyemak, mengkaji dan menyediakan pandangan jika mana-mana pihak yang berkaitan telah melanggar sebarang undang-undang, norma kerja atau pekelilingan pentadbiran dalam pelaksanaan tanggungjawab.

"(Di samping itu) Menilai, mengenal pasti dan mencadangkan syor berkenaan dengan tindakan perundangan dan bukan perundangan yang boleh diambil, dan menyediakan laporan yang mengandungi hasil kajian, analisis serta syor yang berkaitan untuk pertimbangan Jemaah Menteri," katanya.

Beliau berkata setakat ini 20 hingga 30 peratus siasatan telah dilaksanakan oleh RCI berkenaan dan difahamkan ada beberapa individu serta saksi akan dipanggil selepas Hari Raya Aidilfitri ini untuk memberi keterangan berkaitan kes itu.

-- BERNAMA