KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mencadangkan penubuhan sebuah jabatan khusus dikenali sebagai Dana Haji di bawah TH bagi mengurus dana pendeposit, dengan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) untuk meningkatkan profesionalisme pengurusan pelaburan.
Menurut RCI, langkah itu membolehkan fungsi pengurusan pelaburan kekal di bawah TH tanpa perlu dijadikan sebuah syarikat subsidiari.
RCI dalam laporan dikeluarkan semalam berkata fungsi berkenaan perlu diasingkan sebagai sebuah jabatan khusus yang boleh dinamakan sebagai Dana Haji.
Laporan itu menyebut Dana Haji hendaklah dikanunkan dalam Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) dan dikawal oleh SSM bagi menjadikan ia lebih terlindung disebabkan kawal selia sebuah badan yang mempunyai keupayaan untuk menyelia entiti pengurusan modal.
"Adalah dicadangkan Dana Haji ini akan mentadbir dan mengurus dana pendeposit dan melaburkannya bagi mendapatkan pulangan yang stabil. Dana Haji hendaklah didaftarkan atau dilesenkan di bawah SSM," menurut laporan itu.
RCI turut mencadangkan agar fungsi pelaburan TH dikawal selia oleh Menteri Kewangan bersama SSM, manakala pelantikan ahli Panel Pelaburan yang bertanggungjawab memberi panduan serta mengawal selia Dana Haji diletakkan di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan.
Menurut laporan itu, TH akan melantik pegawai kanan lain termasuk Ketua Pegawai Pelaburan yang akan diselia oleh SSM.
Bagi mengelakkan kekeliruan, RCI menegaskan TH tidak mempunyai kuasa untuk mengarah perkara berkaitan dengan pelaburan Dana Haji.
RCI berkata sebagai sebuah jabatan di bawah TH, Dana Haji perlu melaporkan pencapaiannya kepada institusi berkenaan secara berkala dan sistematik, manakala Jabatan Audit dan Jawatankuasa Audit hendaklah diberi kuasa untuk mengakses dokumen serta perkara berkaitan kewangan Dana Haji.
Menurut laporan itu, Dana Haji perlu diwujudkan sebagai struktur dikawal selia oleh SSM bagi meningkatkan tahap profesionalismenya, mengambil kira saiz deposit TH yang kini berjumlah RM88 bilion dan dijangka meningkat kepada RM100 bilion dalam tempoh dua tahun.
Selain itu, RCI turut mengesyorkan Dana Haji membina satu pasukan pelaburan domestik dan antarabangsa yang berpengalaman, sementara portfolio antarabangsa Dana Haji boleh diuruskan oleh pengurus dana luar.
TH juga disaran memberi fokus kepada pengurusan portfolio dengan menetapkan visi untuk menjadi peneraju pengurusan dana dengan menyasarkan pulangan yang tinggi.
“Justeru, RCI mengesyorkan agar kerajaan mengambil langkah secara menyeluruh dalam usaha memperkukuh model perniagaan dan pelaburan TH termasuk memperkasakan tadbir urus melalui pengurusan profesional tanpa campur tangan politik.
“Usaha ini memerlukan kekuatan dan sokongan semua pihak berkepentingan dalam menjayakan agenda memperkasakan kemampanan TH,” katanya.
-- BERNAMA