RCI Forex: Gabenor tidak maklum untung, rugi - Tun Daim

Harits Asyraf Hasnan
September 18, 2017 08:42 MYT
Daim ketika tiba di Istana Kehakiman, Putrajaya untuk hadir di hadapan panel lima ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kerugian Bank Negara Malaysia dalam urus niaga mata wang asing hari ini. - Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Gabenor mahupun Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM) tidak pernah memaklumkan kepada Menteri Kewangan berkenaan prestasi urus niaga mata wang asing yang dikendalikan bank pusat itu.
Pendedahan itu dinyatakan bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin, yang merupakan saksi ke-22 di hadapan panel lima ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang asing (forex).
Jelasnya, tidak ada mana-mana pihak daripada bank pusat itu memberikan sebarang maklumat terhadap urus niaga forex tersebut.
“Sewaktu saya bertugas sebagai Menteri Kewangan dari tempoh Julai 1984 sehingga Mac 1991, saya tidak tahu Bank Negara Malaysia terlibat dalam urus niaga mata wang asing pada ketika itu.
“Saya tidak mengetahui atau diberitahu mengenai bentuk urus niaga mata wang asing yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 1984 hingga 1990,” katanya.
Mengikut rekod, Tan Sri Jaafar Hussein merupakan individu yang menyandang jawatan Gabenor pada ketika itu.
Ujar Daim, beliau tidak mendapat maklumat mengenai segala kerugian yang ditanggung BNM semasa urus niaga tersebut dilakukan.
“Saya tidak mengetahui tentang kerugian berjumlah RM772.3 juta pada tahun 1988 dan RM 2.259 bilion pada tahun 1989 yang dihadapi oleh Bank Negara Malaysia akibat urusniaga hadapan seperti yang dinyatakan,” katanya.
Tambahnya, kali pertama beliau mengetahui mengenai kerugian BNM adalah menerusi maklumat yang dinyatakan dalam halaman 12 (Jadual 6 Ringkasan Kerugian Keuntungan Pertukaran Asing) Rawatan Perakaunan Kerugian yang timbul daripada Pengurusan Rizab Aktif 1988-1994 bertarikh 18 April 2007.
Daim pada masa sama gagal memaklumkan RCI siapa yang bertanggungjawab melaksanakan transaksi forex di BNM antara tahun 1984 hingga 1991.
#Bank Negara Malaysia #Daim Zainuddin #mata wang asing #Menteri Kewangan #prestasi urus niaga #RCI #siasatan