Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Anak guam sentiasa beri kerjasama - Peguam

Putrajaya , 2 September 2026.Seorang bekas menteri tiba di Mahkamah Majistret bagi mendapatkan kebenaran reman berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu pelaburan pajakan hotel Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah dan Madinah.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Individu bergelar Datuk Seri itu tiba kira-kira 10.25 pagi diiringi pegawai SPRM dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga dan bergari. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

PUTRAJAYA: Bekas Menteri yang ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pelaburan pajakan hotel di Makah dan Madinah, sentiasa memberikan kerjasama kepada agensi itu sejak 2018.

Peguamnya, Datuk Hamidi Mohd Noh berkata anak guamnya tidak pernah gagal memberikan kerjasama sepanjang siasatan yang dijalankan SPRM berkaitan isu tersebut.

“Lima hari (direman), bermula hari ini untuk bagi kerjasama dan beliau sentiasa beri kerjasama.

“Dari tahun 2018 sampai sekarang, Datuk Seri memang sentiasa bagi kerjasama. Tak pernah tak bagi kerjasama,” katanya kepada media selepas prosiding reman di mahkamah hari ini.

Beliau berkata anak guamnya direman mengikut Seksyen 16A(a) Akta SPRM 2009, namun tidak memaklumkan secara terperinci mengenai perkara yang sedang disiasat.

Terdahulu, perintah reman bermula hari ini sehingga 6 September ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini.

Individu bergelar Datuk Seri itu tiba kira-kira 10.25 pagi diiringi pegawai SPRM dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga dan bergari.

Beliau ditahan SPRM kira-kira 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Difahamkan, individu berusia 60-an itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu pajakan hotel di Arab Saudi yang didakwa menjadi antara kerugian terbesar dalam senarai pelaburan bermasalah yang dihadapi TH.

Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan individu berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement