PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga ahli politik bergelar Datuk Seri direman seminggu bermula hari ini sehingga 2 September bagi membantu siasatan susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi berkenaan.
Tempoh reman yang sama turut ditetapkan terhadap seorang lagi individu iaitu bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan (MOF) bergelar Tan Sri, bagi membantu siasatan berkait RCI itu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
BACA: RCI Tabung Haji: Bekas CEO TH disambung reman empat hari
Peguam yang mewakili kedua-dua individu berkenaan ketika ditemui media memaklumkan, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Peguam, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat mewakili bekas Pengerusi TH, manakala bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan diwakili peguam, Datuk Seri K Kumaraendran dan Lavinia Kumaraendran.
Kedua-dua individu yang berusia lingkungan 60-an itu tiba jam 9.30 pagi Khamis dalam keadaan tangan bergari dengan memakai baju reman SPRM berwarna jingga, sebelum dibawa meninggalkan kompleks mahkamah pukul 2.30 petang dengan menaiki van SPRM.
Mereka ditahan pada jam 4 petang Rabu selepas diarah hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.