KUALA LUMPUR: Amalan yang boleh disifatkan sebagai “gali lubang, tutup lubang” dalam tadbir urus kewangan badan berkanun dan kerajaan perlu dinoktahkan bagi mengelakkan kesannya terus diwarisi generasi akan datang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerangka perundangan dan tadbir urus yang kukuh perlu diwujudkan bagi memastikan amalan sedemikian tidak berulang.
“Keputusan untuk menggali lubang dengan menghidangkan rakyat dengan 'manisan; untuk meraih populariti singkat hakikatnya akan membuka lubang amat dalam dengan jurang pendapatan dan hutang negara yang semakin melebar.
“Amalan ini perlu dinoktahkan kerana hakikatnya ia adalah penyakit yang akan membinasakan masa depan negara dan rakyat khususnya generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) dalam Persidangan Khas Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Armizan turut membangkitkan kerugian hampir RM13 bilion yang dialami TH sehingga 2018.
Menurutnya, terdapat pihak yang menganggap kerugian berkenaan berpunca daripada pergerakan turun naik pasaran saham biasa.
Namun, beliau berkata Laporan RCI mendapati ia berpunca daripada proses pelaburan TH yang tidak teratur.
Sehubungan itu, Armizan meminta penjelasan sama ada kerajaan akan bertindak terhadap syor RCI supaya kajian forensik dilaksanakan ke atas sekurang-kurangnya 14 pelaburan yang disifatkan mencurigakan.
Antara pelaburan yang turut dibangkitkannya melibatkan beberapa syarikat termasuk Putrajaya Perdana, Al Rawda dan Deru Semangat.
Armizan berkata terdapat dakwaan keputusan berkaitan pelaburan berkenaan dibuat tanpa proses due diligence yang sewajarnya selain diluluskan pihak yang tidak semestinya mempunyai kepakaran dalam bidang pelaburan.
Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan tindakan terhadap syor RCI berhubung keperluan memperkukuh tatakelola pelaburan dan pengawalseliaan TH.
Pada masa sama, Armizan mengalu-alukan tindakan penyiasatan lanjut oleh agensi penguatkuasaan terhadap perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI.
Katanya, sebarang siasatan perlu dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional bagi memastikan keadilan ditegakkan serta tiada mana-mana pihak teraniaya.
Beliau menegaskan perkara paling penting adalah memastikan hak dan keadilan kepada pendeposit TH terus terpelihara.