KUALA LUMPUR: Perbezaan metodologi dan kaedah pengiktirafan rosot nilai aset serta penilaian pelaburan menjadi punca utama perbezaan ketara antara dapatan audit Jabatan Audit Negara (JAN) dan Financial Position Review oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) berhubung kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH).
Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad berkata penyata kewangan TH yang diaudit JAN menunjukkan keuntungan bersih sekitar RM3.4 bilion, manakala Financial Position Review oleh PwC melaporkan kedudukan defisit atau kerugian sekitar RM1.4 bilion.
“Perbezaan metodologi dan kaedah inilah yang menyebabkan kedua-dua laporan menghasilkan angka yang berbeza,” katanya pada program Musyawarah Nasional ‘Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’, di sini pada Selasa.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; serta Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Madinah menjelaskan perbezaan sekitar RM4.8 bilion itu khususnya berkait dengan kaedah pengiktirafan rosot nilai aset dan penilaian pelaburan, termasuk membabitkan syarikat subsidiari, syarikat bersekutu dan aset pelaburan.
Katanya, perbezaan tersebut tidak seharusnya terus ditafsirkan sebagai bukti bahawa proses audit Jabatan Audit Negara gagal atau tidak mengesan masalah kewangan TH.
Sebaliknya, beliau berkata kedua-dua laporan mempunyai mandat, objektif, skop dan metodologi yang berbeza.
“Apabila kita membandingkan dapatan JAN dengan Financial Position Review oleh PwC, kita perlu memahami bahawa kedua-duanya tidak menggunakan mandat, objektif dan metodologi atau kaedah yang sama.
“'Because you are comparing apples and oranges'. Jadi ia tidak sama,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Madinah berkata JAN menjalankan audit statutori TH berdasarkan Akta Audit 1957 dan Akta Tabung Haji 1995, dengan objektif memberikan pendapat sama ada penyata kewangan memberikan gambaran yang benar dan saksama mengikut Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) yang berkuat kuasa ketika itu.
Sebaliknya, beliau berkata, PwC pula menjalankan Financial Position Review sebagai satu penugasan khas berdasarkan 'terms of reference' yang berbeza dan menggunakan pendekatan penilaian yang lebih luas terhadap kedudukan kewangan TH.
Beliau turut menjelaskan mengenai penggunaan Financial Reporting Standards Implementation Committee (FRSIC) Consensus 14 oleh PwC sebagai asas kepada pelarasan terhadap penyata kewangan TH 2017.
Katanya, dokumen yang dikemukakan kepada Lembaga Suruhanjaya Diraja (RCI) menunjukkan terdapat pandangan profesional yang berbeza mengenai kesesuaian penggunaan FRSIC Consensus 14 dalam konteks TH.
“Surat Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Institute of Accountants (MIA) menjelaskan bahawa FRSIC Consensus 14 bukanlah MFRS yang mempunyai kuasa mandatori seperti piawaian pelaporan kewangan yang dikeluarkan oleh Malaysian Accounting Standards Board (MASB).
“Sebaliknya, FRSIC Consensus 14 merupakan panduan (consensus guidance) bagi membantu aplikasi piawaian dalam keadaan tertentu,” katanya.
Madinah berkata isu yang perlu dilihat bukan sama ada FRSIC Consensus 14 wujud atau tidak, tetapi sama ada penggunaannya merupakan satu-satunya tafsiran yang boleh diterima dalam konteks badan berkanun seperti TH.
Ujarnya lagi, sesuatu pendapat audit perlu dinilai berdasarkan bukti audit, piawaian perakaunan dan piawaian audit yang berkuat kuasa pada tarikh audit dilaksanakan, bukannya berdasarkan maklumat atau perkembangan yang hanya diketahui selepas audit selesai.
“Justeru, pada pandangan saya, perbezaan antara laporan Jabatan Audit Negara dan PwC perlu difahami sebagai perbezaan metodologi dan objektif penugasan, bukannya terus ditafsirkan sebagai bukti bahawa proses audit Jabatan Audit Negara gagal atau tidak mengesan masalah TH,” katanya.
Madinah menambah, kelemahan dalam pengurusan, tadbir urus atau keputusan pelaburan tidak semestinya bermaksud juruaudit gagal melaksanakan tanggungjawabnya.
Beliau yang berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara pada 2017 hingga 2019 menegaskan bahawa JAN mempunyai pasukan audit yang berpengalaman dan tidak menjalankan proses pengauditan secara bersendirian.
Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lalu mendedahkan TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017 berbanding keuntungan sebanyak RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangannya.
Laporan RCI yang diterbitkan, menyatakan jika MFRS diguna pakai sepenuhnya bagi tahun kewangan 2017, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih berkenaan, sekali gus menunjukkan kedudukan kewangan institusi itu sudah berada dalam keadaan kritikal pada tahun berkenaan.