KUALA LUMPUR: Perbicaraan berhubung tuntutan Lembaga Tabung Haji (TH) berkaitan pelaburannya dalam Putrajaya Perdana ditetapkan pada 23 Jun 2027.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, TH sedang meneruskan tuntutan melalui proses mahkamah selepas pelaburan berjumlah RM193.5 juta itu mengalami susut nilai sepenuhnya setakat tahun kewangan 2024.
Menurutnya, TH turut memperoleh injunksi Mareva, iaitu perintah mahkamah bagi membekukan atau menghalang pelupusan aset.
“Mediasi yang diarahkan mahkamah diketepikan pada 11 Ogos 2026, iaitu hari ini. Perbicaraan ditetapkan pada 23 Jun 2027,” katanya semasa sesi penggulungan penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas latar belakang pelaburan itu, Amir Hamzah berkata, TH memperoleh 30 peratus pegangan dalam Putrajaya Perdana pada 2014.
Menurutnya, pelaburan itu antaranya bersandarkan jangkaan syarikat berkenaan akan disenaraikan semula dalam tempoh setahun serta mencapai keuntungan RM86 juta pada 2015, namun kedua-duanya tidak tercapai.
Amir Hamzah menjelaskan, bahagian penyelidikan TH pada asalnya tidak bersetuju dengan cadangan penilaian pegangan 30 peratus pada RM206 juta dan menganggarkan nilainya sekitar RM124 juta hingga RM155 juta.
Bagaimanapun ujarnya, pegangan itu akhirnya diluluskan pada nilai RM193.5 juta.
Beliau turut memaklumkan proses usaha wajar (due diligence) hanya dilakukan selepas semua kelulusan diperoleh dan tidak dibentangkan kepada Panel Pelaburan atau Lembaga Pengarah sebelum perjanjian ditandatangani.
Selepas dua jangkaan berhubung pelaburan itu tidak tercapai, TH pada Mac 2018 melaksanakan opsyen jual (put option) bernilai RM210.7 juta bagi meminta penjual mengambil semula saham berkenaan.
Bagaimanapun, Amir Hamzah berkata, penjual tidak membuat bayaran meskipun opsyen berkenaan telah dilaksanakan.
Setakat tahun kewangan 2024, pelaburan tersebut mengalami susut nilai sepenuhnya berjumlah RM193.5 juta.