KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad berkata beliau tidak menemui sebarang bukti kecurian dalam Lembaga Tabung Haji (TH) ketika mengetuai Jabatan Audit Negara.
Beliau yang berkhidmat dari 2017 hingga 2019 menjelaskan, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 yang dijalankan bersama pasukannya ketika itu adalah berdasarkan piawaian serta bukti audit.
Jika wujud sebarang penemuan berkaitan kecurian, Madinah menegaskan, beliau akan menjadi orang pertama yang melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.
"Semasa saya Ketua Audit Negara, saya tidak nampak apa-apa bukti sedemikian (kecurian). Kalau saya dan pasukan saya menemui bukti-bukti tersebut, bukan sahaja saya tidak sembunyi, saya akan highlight (mengetengahkan) lagi, dan saya laporkan kepada pihak berwajib.
"Mandat saya sangat jelas. Kami membuat pengauditan berdasarkan piawaian, berdasarkan bukti-bukti pengauditan dan kami telah keluarkan penyata atau sijil.
"Adakah dalam itu disebut ada penyelewengan ke atau kecurian? Ada tak sebut? Tak ada. Jadi Datuk (merujuk kepada peserta), minta maaf, saya tak boleh nak jawab dan saya tak faham apa erti 'sakau'. Saya berpijak di bumi yang nyata," katanya pada program Musyawarah Nasional 'Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji', di sini, hari ini.
Madinah berkata demikian ketika menjawab pertanyaan salah seorang peserta pada program berkenaan yang mahu tahu jika wujud kecurian atau penyelewengan ketika beliau menjalankan audit ke atas TH.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Datuk Asyraf Wajdi Dusuki serta Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Mengulas sama ada keterangan beliau, sekiranya hadir pada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), akan mengubah laporan yang dihasilkan suruhanjaya itu, Madinah memberi gambaran mungkin ia menghasilkan dapatan yang berbeza.
Madinah berkata beliau menyerahkan kepada RCI untuk menentukan sama ada perkara itu dilihat sebagai faktor mitigasi, termasuk berkaitan dakwaan bahawa Ketua Audit Negara tidak tegas dalam menjalankan tanggungjawabnya.
"Apa yang akan saya katakan (jika dipanggil), adalah perkara yang sama seperti yang saya jelaskan hari ini.
"Sama ada RCI melihat perkara itu sebagai faktor mitigasi dan tidak menganggap Ketua Audit Negara sebagai tidak tegas, perkara itu bukan dalam pengetahuan saya," ujarnya lagi.
Memetik laporan media pada 13 Ogos lalu, Madinah menzahirkan rasa terkilan kerana tidak dipanggil pada prosiding oleh RCI TH walaupun beliau sedia memberi keterangan kepada panel siasatan itu.
Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum, yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan itu turut mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lalu.