SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

RCSEd buka pejabat baharu di Putrajaya, perluas kehadiran serantau

Bernama 21/08/2025 | 23:45 MYT
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan merasmikan pejabat antarabangsa baharu Royal College of Surgeons of Edinburgh di Putrajaya semalam. - Facebook Noor Hisham Abdullah
PUTRAJAYA: Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd), institusi pembedahan tertua di dunia, melebarkan sayap menerusi pembukaan pejabat antarabangsa baharu di sini, sekali gus mengukuhkan komitmennya terhadap Malaysia dan Asia Tenggara.

Presidennya Rowan Parks berkata pejabat baharu terbabit mencerminkan pelaburan jangka panjang RCSEd di rantau ini.

“Pejabat baharu ini bukan sekadar ruang, ia pernyataan komitmen terhadap komuniti Asia Tenggara. Malaysia telah sekian lama menjadi rakan utama dalam latihan dan kemajuan bidang pembedahan serta pergigian, dan pembukaan pejabat baharu ini membolehkan kami memperkukuh pelaburan dalam kerjasama tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada masa ini Malaysia berdepan kekurangan pakar, khususnya dalam bidang pembedahan, dengan Kementerian Kesihatan (KKM) menganggarkan sekurang-kurangnya 13,000 pakar diperlukan menjelang 2030, iaitu dua kali ganda daripada jumlah semasa.

Sehubungan dengan itu, RCSEd memaklumkan pejabat baharu itu yang terletak di Akademi Perubatan Malaysia (AMM) bermatlamat menyokong pembinaan kapasiti, pembangunan profesional dan pendidikan perubatan berterusan bagi menangani jurang terbabit.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang juga Felo Diraja RSCEd berkenan merasmikan pejabat berkenaan semalam.

Turut hadir presiden kolej perubatan dan pergigian serta wakil kanan daripada bidang pembedahan dan pergigian.

Ditubuhkan pada 1505, RCSEd memiliki lebih daripada 33,000 ahli di lebih 100 negara dan diiktiraf kerana menggalakkan piawaian tinggi dalam amalan pembedahan dan pergigian menerusi pendidikan, latihan serta peperiksaan.

Majlis semalam turut menyaksikan penandatanganan Surat Hasrat (LoI) dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), sokongan penajaan daripada The Straumann Group serta penganugerahan Malaysia-United Kingdom Travelling Fellowship (MUTF) kepada Dr Yu Wei daripada Universiti Malaya.

-- BERNAMA





#RCSEd #Pembedahan #institusi pembedahan tertua di dunia #pejabat antarabangsa baharu #Royal College of Surgeons of Edinburgh