REAL MADRID 4 NAPOLI 2

Real Madrid bimbingan Carlo Ancelotti mengesahkan slot ke pusingan 16 selepas menafikan kemaraan kelab dari Itali, Napoli, dalam perlawanan kelima, untuk muncul juara kumpulan C, Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Melayani kunjungan Napoli di Santiago Bernabeu, juara 14 kali itu bagaimanapun terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan pelawat menerusi jaringan Giovanni Simone pada minit kesembilan.

Bagaimanapun, ia cuma bertahan selama dua minit sebelum Real mengatur kembali gerakan serangan dan mengikat kedudukan menjadi 1-1 menerusi jaringan Rodrygo.

Sorakan penyokong tuan rumah berterusan selepas itu apabila bola hantaran Alaba tepat singgah ke kepala Jude Bellingham sebelum menerjah ke jaring Napoli untuk Real mendahului 2-1.

Napoli, yang tidak berputus asa dalam misi mencari kemenangan ketiga, mengikat kedudukan menjadi 2-2 hasil jaringan Andre Frank Zambo ketika permainan baru sahaja memasuki babak kedua.

Real kemudiannya terpaksa menanti sehingga minit ke-84 untuk kembali mendahului semula, kali ini menerusi jaringan Nico Paz.

Joselu akhirnya melengkapkan malam kemenangan Real Madrid apabila menjaringkan gol keempat tuan rumah ketika permainan sudah memasuki masa kecederaan untuk menutup aksi dengan 4-2.

Kekalahan Napoli itu meletakkan mereka di tangga kedua, dengan kelab Itali itu terpaksa berdepan Braga pada aksi terakhir peringkat kumpulan untuk menentukan pasukan mana layak mara.