NATIONAL
Realiti pendapatan rendah, Malaysia semakin ketinggalan - Bekas Gabenor BNM

Muhammad berkata, realiti pendapatan gaji sebenar di Malaysia pada hari ini kian merosot sebanyak tiga kali ganda berbanding empat dekad lalu.
KUALA LUMPUR:
Ringkasan AI
Menurut bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim, realiti pendapatan gaji sebenar di Malaysia pada hari ini merosot sebanyak tiga kali ganda berbanding empat dekad lalu.
Kata beliau, gaji graduan pada masa kini tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan peningkatan kos sara hidup.
Muhammad berkata, pendapatan yang diterima jauh lebih rendah daripada apa yang sepatutnya mereka peroleh sekiranya kadar inflasi diambil kira.
Beliau berkata, gaji permulaan graduan hari ini sewajarnya berada pada paras RM7,000 hingga RM8,000 bagi mencerminkan nilai ekonomi semasa.
"Realitinya, graduan baharu di Malaysia hanya menerima antara RM2,000 hingga RM3,000.
“Itu bersamaan dengan kuasa beli sekitar RM300 hingga RM400 pada tahun 1980-an. Dari segi sebenar, gaji kita telah merosot sekurang-kurangnya tiga kali ganda," katanya.
Muhammad menjelaskan isu gaji rendah bukanlah masalah terpencil, tetapi kebergantungan terhadap tenaga buruh asing murah, kegagalan mencipta pekerjaan berkualiti tinggi, serta ketidakcekapan sistem pendidikan menyebabkan negara terus terperangkap dalam pendapatan sederhana yang berpanjangan.
Jelasnya, kebanyakan pekerja asing yang dibawa masuk ke Malaysia terdiri daripada individu berkemahiran rendah dan kurang pengalaman, menjadikan kos pengambilan mereka jauh lebih murah.
Katanya, keadaan itu menyebabkan wujud persaingan secara langsung dengan kumpulan berpendapatan rendah tempatan (B40), yang akhirnya menyukarkan peningkatan gaji dalam kalangan mereka.
"Sehingga 31 Disember 2024, jumlah tenaga kerja negara ialah 16.78 juta, dengan 2.37 juta atau 14% daripadanya adalah pekerja asing," katanya dalam temu bual bersama Sin Chew Daily.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia turut berdepan dengan kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi, yang memberi kesan negatif dan mendorong rakyat berhijrah ke negara lain seperti Singapura, Asia Barat, Australia dan New Zealand, demi mendapatkan gaji yang lebih setimpal, khususnya dalam sektor kejururawatan.
Selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mencadangkan semakan semula klasifikasi pendapatan rakyat Malaysia daripada sistem B40, M40 dan T20 kepada struktur baharu B20, M50 dan T30.
Klasifikasi baharu yang dibangunkan oleh Khazanah Research Institute (KRI) ini menilai isi rumah berdasarkan keupayaan serta corak perbelanjaan, dan bukan hanya tertumpu kepada jumlah pendapatan semata-mata.
Namun, Muhammad menjelaskan, berdasarkan pengalamannya sebagai Gabenor BNM, kumpulan B40 dalam klasifikasi lama kini mungkin telah berkembang menjadi B60, khususnya selepas pandemik COVID-19 yang menyaksikan kadar gaji hampir tidak meningkat.
Katanya, ramai dalam kumpulan berpendapatan rendah masih hidup dalam tekanan kewangan, tidak memiliki simpanan, dan bergantung sepenuhnya kepada gaji bulanan untuk meneruskan kehidupan.
Justeru, beliau menggesa kerajaan untuk meningkatkan pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), memperkukuh syarikat pemula (startup), serta melaksanakan reformasi menyeluruh dalam teknologi maklumat, automasi dan literasi digital.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan keperluan memperluas pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang.
Dalam pada itu, beliau menasihati Malaysia agar tidak terus membandingkan diri dengan negara-negara ASEAN yang ekonominya lebih lemah, sebaliknya menjadikan ekonomi termaju dunia sebagai penanda aras sebenar pencapaian negara.
Malaysia kini berada di ambang kemunduran ekonomi sekiranya tiada reformasi menyeluruh dilaksanakan terhadap sistem pendidikan dan struktur pekerjaan negara.
Ringkasan AI
- Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim, menyatakan bahawa gaji sebenar di Malaysia telah merosot tiga kali ganda berbanding empat dekad lalu. Gaji graduan masa kini tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup, dengan gaji permulaan sepatutnya berada pada paras RM7,000 hingga RM8,000 tetapi realitinya hanya sekitar RM2,000 hingga RM3,000.
- Muhammad menekankan bahawa isu gaji rendah bukan masalah terpencil tetapi berpunca daripada kebergantungan kepada tenaga buruh asing murah, kegagalan mencipta pekerjaan berkualiti tinggi, dan ketidakcekapan sistem pendidikan. Ini menyebabkan negara terperangkap dalam pendapatan sederhana yang berpanjangan dan kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
- Beliau menggesa kerajaan untuk meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), memperkukuh syarikat pemula (startup), serta melaksanakan reformasi dalam teknologi maklumat, automasi, dan literasi digital. Selain itu, beliau menekankan keperluan memperluas pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang dan menjadikan ekonomi termaju dunia sebagai penanda aras pencapaian negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami