[TERKINI] Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN
MALAYSIA

Reban terbakar, 7,200 ekor ayam mati

Bernama 30/12/2025 | 02:55 MYT
Menurut pemilik, reban itu menempatkan 9,000 ekor ayam dan hanya kira-kira 20 peratus daripadanya masih hidup, namun diselaputi kesan hitam akibat asap kebakaran. - Foto JBPM Pulau Pinang
BUKIT MERTAJAM: Kira-kira 7,200 ekor ayam mati selepas reban yang menempatkan haiwan ternakan itu di Jalan Juru Estate Simpang Ampat, di sini, terbakar malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata kebakaran melibatkan struktur dalaman, termasuk ruang ternakan ayam menyebabkan hampir 80 peratus daripada 9,000 ekor ayam yang berada di situ tidak dapat diselamatkan.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.39 malam memaklumkan mengenai kejadian sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Perai, dibantu BBP Perda ke lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan sebuah reban kelas B berkeluasan 40x400 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan 50 peratus. Kebakaran telah dipadamkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) sebelum bomba tiba di lokasi.

"Struktur luaran tidak terjejas dan kemusnahan hanya melibatkan struktur dalaman termasuk ruang ternakan ayam. Pemilik memaklumkan reban itu menempatkan 9,000 ekor ayam dan hanya kira-kira 20 peratus daripadanya masih hidup, namun diselaputi kesan hitam akibat asap kebakaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

John berkata operasi memadam kebakaran dibantu tujuh PBS iaitu PBS Juru, Padang Lalang, Taman Merak, Permatang Tinggi, Cross Street, Kota Permai dan Taman Sukun.

Beliau berkata operasi tamat pada 11.58 malam dan lokasi kemudian diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut, sementara punca sebenar dan jumlah kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan.

-- BERNAMA


#reban ayam terbakar #ayam mati #JBPM Pulau Pinang #simpang ampat