KUALA LUMPUR: Seramai 9.44 juta pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus menikmati rebat elektrik sebanyak 2 sen /kWj bermula 1 Julai hingga 31 Disember tahun ini.

Dalam pengumuman sebelum ini, pengguna domestik dan industri menikmati rebat elektrik 2 sen/kWj bermula 1 Januari lalu dan sepatutnya berakhir Rabu ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pemberian rebat tambahan itu membolehkan semua pemegang akaun TNB menikmati purata diskaun sebanyak lima peratus dalam tempoh berkenaan.

"Dengan mengambil kira cabaran dan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, Kerajaan bersetuju untuk membiayai pemberian rebat tambahan sebanyak 87 sen/kWj yang melibatkan peruntukan sebanyak RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

"Oleh itu, semua pemilik akaun TNB yang dianggarkan seramai 9.44 juta pengguna akan terus menikmati rebat elektrik sebanyak 2 sen/kWj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021," katanya pada sidang media yang diadakan secara dalam talian di sini, pada Isnin.

Rebat bil elektrik 2 sen/kwj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021

Menurut Shamsul Anuar lagi, kerajaan juga bersetuju memberi diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna domestik dan bukan domestik bagi tempoh Julai hingga September 2021 untuk Semenanjung dan Sabah.

“Perkara ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Justeru apa yang saya umumkan hari ini berbeza berbanding diskaun.

"Kerajaan bersetuju membelanjakan RM493 juta agar tidak berlaku kenaikan tarif elektrik dan mengekalkan sebagaimana sekarang," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kos pelaksanaan mekanisme Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) perlu diselaraskan bagi tempoh Julai hingga 31 Disember 202 berjumlah RM638.98 juta.

“Ini bermakna bahawa kadar rebat elektrik yang boleh dilepaskan kepada pengguna ialah sebanyak 1.13 sen/kWj berbanding kadar rebat bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 iaitu 2 sen/kWj.

“Peningkatan kos ICPT berlaku berikutan kenaikan kos pembekalan gas dan arang batu bagi tempoh Januari hingga Jun ini.

Menurutnya, purata tarif asas elektrik dikekalkan pada kadar 39.45 sen/kWj pada tempoh yang sama sesuai dengan pelaksanaan mekanisme Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT).

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan bersetuju memberi rebat sebanyak 2 sen/kWj kepada pengguna bukan domestik di Kulim High Technology Park (KHTP) yang mendapat bekalan elektrik daripada NUR Power Sdn Bhd bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021.

“Ini merupakan kali pertama pengguna bukan domestik di KHTP menikmati rebat elektrik sejak mekanisme penetapan tarif ‘Incentive-Based Regulations’ dilaksanakan pada tahun 2017.

“Pemberian rebat ini dilaksanakan berikutan berlaku penurunan harga bahan api gas dan bekalan elektrik pukal TNB pada separuh tahun pertama 2021 serta penjimatan daripada pelarasan kos sebenar bahan api bagi tempoh Julai hingga Disember 2020,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan golongan miskin tegar dengan pendapatan RM1,169 ke bawah yang berdaftar melalui Sistem e-Kasih layak mendapat rebat bil elektrik sebanyak RM40.

“Sehingga Mei 2021, jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak ialah 282,182. Bagaimanapun, hanya 113,745 iaitu 40.31 peratus daripada KIR yang layak telah mengemas kini nombor akaun bil elektrik mereka.

“Oleh itu, saya menyeru mereka yang layak untuk mengemas kini nombor akaun dengan pihak utiliti bagi membolehkan mereka menikmati rebat bil elektrik berkenaan,” ujarnya.