LAILATUL Qadar merupakan anugerah istimewa dalam bulan Ramadan yang wajar direbut oleh setiap Muslim. Malam penuh berkat ini berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan dan nilainya lebih baik daripada seribu bulan ibadah biasa. Ini bermakna ibadah pada malam al-Qadar menyamai ganjaran lebih 83 tahun, suatu kelebihan luar biasa yang dikurniakan Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, umat Islam diseru agar tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk meningkatkan amal ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Keagungan Lailatul Qadar ditegaskan sendiri oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya: “Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 3). Demikianlah ayat ini menjelaskan bahawa ganjaran ibadah pada malam tersebut mengatasi amalan selama seribu bulan iaitu kira-kira seumur hidup manusia.
Advertisement
Selain itu, Rasulullah SAW turut mengajar umatnya agar mencari dan menghidupkan Lailatul Qadar pada malam-malam akhir Ramadan. Baginda bersabda: “Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil daripada sepuluh malam terakhir Ramadan.” (HR. al-Bukhari, No. 2017). Malam-malam ganjil tersebut merangkumi malam ke-21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.
Manakala tarikh tepat Lailatul Qadar dirahsiakan Allah SWT sebagai hikmah untuk mendorong umat Islam berusaha mencarinya pada setiap malam akhir Ramadan. Dengan cara ini, umat Islam terdorong untuk tekun beribadah sepanjang sepuluh malam terakhir, bukan hanya menumpukan kepada satu malam tertentu sahaja.
Panduan Menghidupkan Lailatul Qadar
Antara amalan yang boleh dilakukan oleh setiap individu muslim pada malam-malam Ramadan khususnya pada 10 malam terakhir adalah:
Solat Fardhu Isyak dan Subuh secara Berjemaah
Antara amalan yang boleh dilakukan ialah menunaikan solat fardhu Isyak dan Subuh secara berjemaah. Sayyidina Uthman bin Affan RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menunaikan solat Isyak secara berjemaah, maka seolah-olah dia telah menghidupkan separuh malam. Dan barangsiapa yang menunaikan solat Subuh secara berjemaah, maka seolah-olah dia telah menunaikan solat sepanjang malam.” (HR. Muslim, No. 656)
Hadis ini menegaskan besarnya ganjaran solat Isyak dan Subuh berjemaah, khususnya pada malam-malam terakhir Ramadan yang diharap memperoleh Lailatul Qadar. Oleh itu, umat Islam disarankan untuk tidak melepaskan peluang hadir ke masjid atau surau bagi menunaikannya.
Qiyamullail
Qiyamullail bermaksud mendirikan ibadah pada waktu malam, termasuk solat-solat sunat seperti tarawih dan tahajjud. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa berdiri (beribadah) pada malam al-Qadar dengan iman dan mengharap pahala, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR. al-Bukhari, No. 1901)
Hadis ini menjanjikan pengampunan dosa bagi mereka yang berqiyam pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan, keikhlasan dan mengharap ganjaran hanya kerana Allah SWT.
Membaca al-Quran (Tilawah)
Membaca al-Quran adalah amalan yang sangat besar pahalanya, terutama pada malam al-Qadar yang dikenali sebagai “Malam al-Quran”. Mengisi Lailatul Qadar dengan tilawah al-Quran sangat bertepatan dengan kemuliaan malam tersebut. Hal ini dipertegaskan lagi dengan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW yang bertadarus al-Quran bersama Malaikat Jibril AS setiap malam Ramadan. Ini menunjukkan membaca, bertadarus dan bertadabur al-Quran pada malam Ramadan sangat dituntut.
Berdoa
Doa merupakan senjata orang beriman. Manakala pada malam al-Qadar doa sangat digalakkan kerana ia merupakan malam yang sangat mustajab. Secara khususnya ada satu doa istimewa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada sayyidatina Aishah RA untuk dibaca apabila bertemu Lailatul Qadar. Sayyidatina Aishah RA bertanya: “Ya Rasulallah, jika aku mengetahui suatu malam itu Lailatul Qadar, apa yang harus aku ucapkan (doakan) di dalamnya?” Nabi SAW menjawab dengan mengajarkan doa:
اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku”. (HR. al-Tirmizi, no. 3513)
Beriktikaf di Masjid
Beriktikaf di masjid dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT adalah sunnah yang sangat dituntut khususnya pada 10 hari terakhir Ramadan. Rasulullah SAW sendiri sentiasa beri‘tikaf pada sepuluh akhir Ramadan demi memperoleh Lailatul Qadar, sebagaimana diriwayatkan bahawa Nabi SAW beri‘tikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan, seraya bersabda: “Sesiapa yang telah beri‘tikaf bersamaku, maka hendaklah ia beri‘tikaf pada sepuluh (malam) terakhir...” (HR. al-Bukhari, No. 2027)
Hadis ini menunjukkan bahawa i‘tikaf pada sepuluh malam terakhir merupakan wasilah terbaik untuk menghidupkan Lailatul Qadar kerana ia membantu seseorang fokus beribadah di masjid tanpa gangguan urusan dunia.
Amalan bagi wanita yang Haid
Wanita yang berada dalam keadaan haid dilarang melakukan beberapa ibadah seperti solat, puasa, tawaf, iktikaf dan membaca al-Quran secara tilawah. Namun, keadaan ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan usaha menghidupkan Ramadan dan malam-malam yang diharapkan Lailatul Qadar. Para ulama menegaskan bahawa masih banyak amalan ibadah lain yang boleh dilakukan, antaranya:
Berzikir, berselawat dan istighfar
Wanita haid dibenarkan memperbanyakkan zikir seperti tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), tahlil (Lailahaillallah), takbir (Allahuakbar) serta istighfar (Astaghfirullah). Imam al-Nawawi RA menegaskan bahawa para ulama sepakat membolehkan wanita haid melakukan segala zikir selain membaca al-Quran. (al-Majmū’ Sharh al-Muhadhdhab: 2/357)
Berdoa dan memanjatkan doa-doa ma’thur
Selain itu, doa amat digalakkan terutama pada malam-malam terakhir Ramadan. Umat Islam disarankan berdoa dengan pelbagai doa, termasuk doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Sayyidatina Aishah RA seperti yang disebutkan sebelum ini.
Bersedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa
Wanita haid juga boleh bersedekah dan menyediakan makanan berbuka untuk orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang sama seperti orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi sedikit pun dari pahala orang yang berpuasa.” (HR. Tirmizi, No. 807)
Amalan ini memberi peluang besar untuk meraih pahala walaupun seseorang tidak dapat berpuasa. Antaranya ialah dengan menyediakan juadah berbuka kepada keluarga dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.
Sebagai kesimpulannya, umat Islam hendaklah merebut keutamaan Lailatul Qadar dengan sepenuh hati kerana malam ini lebih berharga daripada seribu bulan dan mungkin tidak ditemui lagi pada masa hadapan. Kehidupan manusia yang singkat tidak wajar mensia-siakan peluang keemasan ini. Oleh itu, tingkatkanlah amal pada sisa Ramadan agar termasuk dalam golongan yang meraih pahala berlipat ganda dan keampunan Allah SWT. Semoga Allah mengurniakan kita Lailatul Qadar yang penuh bermakna serta menjadikan kita insan yang lebih bertakwa. Aamiin.