Rebut pelanggan punca pergaduhan di Low Yat

Hilmi Malik
Disember 4, 2020 16:38 MYT
Kejadian pada jam 7 malam itu menyaksikan berlakunya insiden kekecohan melibatkan sebuah kedai menjual peralatan komputer. - Foto media sosial
KUALA LUMPUR: Hanya kerana berebut pelanggan, satu insiden pergaduhan telah tercetus di Plaza Low Yat pada Jumaat.
Kejadian pada jam 7 malam itu menyaksikan berlakunya insiden kekecohan melibatkan sebuah kedai menjual peralatan komputer.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisoner Mohamad Zainal Abdullah, mengesahkan kejadian tersebut dan menerima panggilan orang awam memaklumkan tentang kejadian berkenaan.
“Polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian tersebut dan sebaik menerima maklumat sepasukan polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Unit Kereta Peronda (URB) dan Ketua Polis Balai Tun HS Lee, bergegas ke lokasi kejadian.
“Polis telah menahan seramai 42 individu kesemuanya masing-masing berusia 20 hingga 35 tahun dan kejadian tersebut tidak mempunyai sebarang isu perkauman,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, rakaman video tersebut tular di media sosial menyaksikan pergaduhan melibatkan beberapa kumpulan di sekitar Plaza Low Yat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
#kes pergaduhan #Low Yat #perebutan pelanggan #Polis Daerah Dang Wangi #Plaza Low Yat #pusat beli belah