KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, akan mengarahkan Perbadanan Stadium Malaysia untuk memberikan laporan mengenai keadaan padang utama di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil.

Keadaan padang sintetik itu, yang baru ditukar sebelum penganjuran Sukan SEA 2017, mengalami masalah sehingga aksi Liga Hoki Malaysia di antara PDRM Blue Warriors dan UniKL Ladies, terpaksa dipindah ke padang 2.

Beliau berkata keadaan tersebut tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi ia baru diperbaiki pada awal 2019 sebelum penganjuran Siri Akhir FIH lelaki, iaitu salah satu acara kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Saya pun bila dilaporkan oleh pegawai saya bahawa berlaku gangguan di padang petang tadi apabila berlaku hujan lebat, saya rasa secara peribadi ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku sebab padang ini baru lagi.

"Memang benar bahawa tidak diguna dalam tempoh setahun kerana pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), tetapi ia bukan satu alasan jika ada penjagaan yang betul. Tetapi saya harap perkara ini boleh diselesaikan, sama ada disebabkan oleh padang, perparitan atau isu lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran Liga Hoki Malaysia dan pelancaran logo Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP), di Stadium Hoki Nasional di sini, malam tadi.

Reezal Merican turut memuji komitmen dan kepatuhan pihak Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan pasukan dalam menjayakan MHL menerusi konsep gelembung sukan, meliputi hampir 500 individu tanpa sebarang masalah.

NHDP yang ditambah baik itu, akan mempunyai 50 pusat bagi kategori lelaki dan 20 pusat bagi wanita, menerusi struktur baru empat lapisan - Pusat Akar Umbi (B-12), Pusat Daerah (B-14), Pusat Negeri (B-16) dan Pusat Kebangsaan (B-18).

Sementara itu, beliau berkata permohonan Sabah untuk menambah padang di negeri itu untuk penganjuran kejohanan antarabangsa wanita, akan diteliti dan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

-- BERNAMA